Syarikat pengeluar minuman disaran kurangkan penggunaan gula

Dr Lee Boon Chye

BATU GAJAH, 13 Jan (Bernama) – Syarikat pengeluar minuman di negara ini diminta untuk mengurangkan kandungan gula daripada menggunakan gula alternatif dalam setiap produk minuman yang dihasilkan menjelang pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula, mulai 1 April ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata ini kerana penggunaan gula alternatif bagi menggantikan gula sebenar akan meningkatkan kos sesuatu produk.

"Ini akan menjadi satu isu (kenaikan kos) dalam kalangan syarikat pengeluar minuman kerana kita mahu mereka mengurangkan kadar gula dalam produk minuman (paket atau tin).

"...tidak bermakna minuman itu tidak mengandungi gula sekiranya kadar penggunaan gula dikurangkan cuma rasa minuman itu akan jadi lain sedikit berbanding jika menggunakan gula dengan jumlah yang banyak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah serta Kempen Anti Merokok peringkat Parlimen Batu Gajah yang turut dihadiri anggota parlimennya, V. Sivakumar di sini hari ini.

Pada 2 Nov lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 berkata kadar cukai 40 sen seliter akan dikenakan terhadap minuman bergula dikilangkan dalam  bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

Lim berkata ia melibatkan minuman mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain melebihi 5 gram per 100 mililiter serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata pihaknya menyasarkan setiap 1,000 orang dapat menderma darah sebanyak 35 kali setahun mengikut piawaian antarabangsa.

Menurutnya, keperluan bekalan darah dapat menyeimbangkan bekalan dan permintaan yang diperlukan kira-kira 2,000 unit beg sehari untuk digunakan di hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara.

"Keperluan darah ini digunakan untuk mangsa kemalangan jalan raya, pendarahan semasa melahirkan  anak atau keperluan lain kerana ketika ini keperluan bekalan darah tidak mencukupi terutamanya semasa  bulan Ramadan," katanya.

--  BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018