Pakar obstetrik dan sakit puan Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Aizura Syafinaz Ahmad Adlan (kanan) dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini. Beliau ditemu bual bersama adiknya, pakar sakit jiwa UMSC, Dr Aida Syarinaz. -- fotoBERNAMA oleh AmirulAzmi
Oleh Salbiah Said
Rencana ini adalah bahagian akhir daripada dua bahagian mengenai kehamilan luar nikah yang melibatkan gadis belasan tahun.
PETALING JAYA (Bernama) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenalpasti kira-kira 16 juta remaja perempuan melahirkan anak setiap tahun dan kebanyakan mereka dari negara berpendapatan sederhana dan rendah.
Dianggarkan tiga juta gadis berusia 15 hingga 19 tahun menjalani pengguguran yang tidak selamat setiap tahun. Data juga menunjukkan di seluruh dunia, 1 dalam 5 remaja perempuan melahirkan anak menjelang usia 18 tahun.
Di Malaysia, dilaporkan purata 18,000 gadis belasan tahun hamil setiap tahun. Secara purata di seluruh negara, seramai 1,500 remaja perempuan hamil setiap bulan atau 50 kes sehari dan mereka ini biasanya mendapatkan bantuan perubatan di klinik kerajaan.
Memandang ke hadapan, di tengah-tengah kemelut isu kehamilan remaja perempuan belasan tahun ini, amat bertepatan sekali sekiranya sebuah kumpulan pemikir ditubuhkan untuk menangani isu ini.
Keahlian kumpulan ini dicadangkan terdiri daripada doktor, persatuan ibu bapa dan guru, remaja belasan tahun, pekerja sosial serta pelbagai kumpulan agama. Mereka ini diharap dapat mewujudkan satu sistem untuk menangani masalah kehamilan remaja perempuan yang berleluasa ini.
"Kumpulan ini hendaknya boleh menembusi sempadan agama dan kebudayaan. Mereka perlu antaranya pragmatik dan berfikiran terbuka untuk mengurangkan kes kehamilan remaja perempuan belasan tahun dan kelahiran bayi di luar nikah. Pasukan ini juga perlu berganding bahu dengan agensi kerajaan yang berkenaan untuk mewujudkan program serta kegiatan bagi mendidik remaja belasan tahun tentang kelahiran anak di luar nikah, “ kata pakar-pakar Pusat Pakar UM (UMSC).
Pakar obstetrik dan sakit puan UMSC, Prof Madya Dr Aizura Syafinaz Ahmad Adlan berkata kumpulan pemikir itu perlu melengkapkan tugas serta bekerjasama dengan kementerian seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan atau menghapuskan sama sekali kehamilan remaja belasan tahun ini.
KEMPEN KESEDARAN
Menurut Dr Aizura Syafinaz kempen kesedaran besar-besaran perlu diadakan dengan penglibatan golongan muda serta kumpulan yang berfikiran terbuka yang boleh berganding bahu dalam mencapai matlamat kumpulan pemikir itu.
"Lagi banyak kita bercakap tentang isu seksual, lagi kurang rasa malu untuk berbincang, “ beliau memberitahu Bernama dalam wawancara baru-baru ini. Adik perempuan beliau, Dr Aida Syarinaz, pakar sakit jiwa dengan UMSC turut serta dalam temu bual itu.
Dr Aida Syarinaz menekankan tentang kelompongan dalam sistem mengendalikan kehamilan gadis belasan tahun, mahupun di hospital.
"Tidak ada prosedur yang standard untuk mengendalikan perkara itu. Pada hari remaja yang hamil itu datang ke hospital, sekiranya doktor yang merawatnya seorang yang anti pengguguran, remaja itu akan dinasihati supaya meneruskan kehamilannya dan kemudian memberikan bayinya untuk dijadikan bayi angkat. Keadaan yang berbeza pula sekiranya doktor yang merawat gadis itu tidak mempunyai halangan untuk kandungan itu digugurkan dan ia dengan mudah boleh diatur.
"Di Malaysia sebarang dokumen untuk menggugurkan kandungan perlu ditandatangan dua orang perunding, “ tambahnya.
SITUASI RUMIT
Menurut Dr Aida Syarinaz terdapat juga keadaan di mana doktor perlu merawat mereka yang lewat datang untuk mendapatkan penjagaan perubatan. Sebagai contoh, seorang pesakit remaja datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan ortopedik kerana sendi bengkak.
"Selepas menjalani imbasan MRI (magnetic resonance imaging), didapati remaja perempuan itu mengandung dan darah beku itu dikenalpasti berlaku akibat kehamilan. Pesakit yang begini merumitkan keadaan kerana ibu tanpa nikah itu sudah sarat mengandung, “ katanya.
Dr Aizura Syafinaz berkata ibu yang berusia belasan tahun menanggung lebih risiko komplikasi kehamilan. Akibat kurang atau tanpa penjagaan sebelum pranatal remaja itu mungkin mudah mendapat ‘preeclampsia’, keadaan yang dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.
Beliau menjelaskan ibu belasan tahun juga kerap perlu menjalani pembedahan caesarean. Ini kerana tulang pelvis ibu yang berusia belasan tahun belum mencapai saiz maksimum sehingga berumur 18 tahun. Oleh yang demikian, pelvis remaja itu mungkin belum mencukupi saiz untuk melahirkan bayinya menerusi vagina untuk bayi yang bersaiz normal.
Dr Aida Syarinaz berkata risiko kemurungan selepas bersalin juga tinggi di kalangan ibu yang berusia belasan tahun. Tanpa sokongan kuat dari keluarga, kemurungan itu boleh menjadi teruk dan jika dibiarkan sendirian, dia mungkin terjebak dengan penyalahgunaan dadah, “ tambahnya.
Dalam sesetengah kes, kemurungan melampau boleh menjurus kepada kecenderungan bunuh diri atau bunuh bayi yang dlahirkan. Kemurungan yang tidak dirawat boleh menjadi rumit sehingga kepada peringkat kemurungan psikosis di mana minda menjadi terganggu dan berhalusinasi.
BANYAK KEBIMBANGAN
Kebimbangan yang semakin meningkat tentang kes pembuangan bayi menghasilkan penubuhan ‘Baby Hatch’ Malaysia yang pertama pada Mei 2010. Ia adalah inisiatif OrphanCare secara kerjasama dengan KPJ Healthcare Bhd. ‘Baby Hatch’ itu menawarkan kemudahan kepada si ibu yang tidak mahukan bayinya untuk meletakkan bayi di tempat yang selamat dan bukan membuangnya di tempat yang boleh membahayakan nyawa bayi.
"Program ini membolehkan si ibu untuk bertemu dengan bayinya pada kemudian hari. Amat tidak adil untuk bayi itu menjadi anak yatim piatu dan itu sebabnya mengapa mereka akan diberi kepada keluarga angkat yang sesuai, “ kata Dr Aizura Syafinaz.
Beliau berkata ibu yang berusia belasan tahun itu menghadapi pelbagai kesulitan untuk meneruskan persekolahan kerana stigma sosial berkaitan dengan ibu luar nikah.
"Sikap masyarakat kita sememangnya tidak membenarkan untuk ibu tanpa nikah ini meneruskan pelajaran mereka dalam sistem pendidikan aliran utama. Keadaan ini perlu berubah.
“Sistem kita lebih bersifat menghukum dan kurang memberi sokongan. Sebagai contoh, remaja itu datang ke hospital dengan stigma dia akan melahirkan anak di luar nikah. Lebih berat dia perlu mendapatkan laporan polis sebelum melahirkan bayinya, “ kata Dr Aizura Syafinaz.
PERLU KETELUSAN
Dr Aizura Syafinaz berpendapat perlu ada kaedah yang jelas untuk menguruskan keadaan di kalangan doktor yang merawat remaja berkenaan, polis dan ibu bapa.
"Terlalu banyak prosedur. Para doktor perlu menangani perkara ini memandangkan ia boleh menjadi rumit dan mencetuskan tekanan. Ia bukan sahaja untuk remaja yang hamil luar nikah kerana dia sudah tentunya menanggung stigma. Di hospital, dia perlu dimasukkan ke wad berasingan daripada pesakit-pesakit lain, “ tegasnya.
Beliau merujuk kepada satu kes melibatkan seorang remaja yang dirogol berulang kali oleh ayah kandungnya sejak dia berumur sembilan tahun. Remaja itu hamil sebaik sahaja dia datang haid pada umur 15 tahun. Ibu dan adik-adiknya yang lain turut menjadi mangsa keganasan domestik.
"Doktor-doktor berada dalam dilema dan tak tahu apa yang perlu dilakukan kerana budak perempuan itu mengandungkan bayi ayah kandungnya. Budak itu kemudiannya lari dari hospital dan menggugurkan kandungannya, entah di mana, “ katanya.
"Pendidikan seks perlu bermula di rumah. Lebih mudah membincangkan soal pendidikan seks serta kehamilan sekiranya keluarga itu terbuka untuk membincangkan sebarang isu yang dihadapi oleh ahli keluarga. Jika remaja hamil, ibu bapa perlu menerima hakikat ini dan mesti menangani masalah ini sebaik mungkin, “ kata Dr Aida Syarinaz.
PENDEKATAN YANG LEBIH BAIK
Pendirian Dr Aizura Syafinaz mengenai isu ini: "Jangan cepat hendak menghukum kerana ia tak akan menyelesaikan masalah. Elok kita fikirkan pendekatan terbaik, cara yang lebih baik.”
Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan program ‘Generasiku Sayang’ bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya usaha mencegah kehamilan remaja.
Di bawah program tersebut, kementerian ini menubuhkan pusat penjagaan untuk menyediakan perlindungan bagi remaja atau wanita yang hamil di luar nikah juga untuk bayi mereka. Pada masa ini, pusat yang sama ditubuhkan di semua negeri kecuali Kuala Lumpur, Labuan dan Pahang.
Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) membuka 'Rumah Generasiku Sayang' (RGKS) yang pertama di negeri itu pada Oktober 2018 untuk remaja belasan tahun yang mengandung di luar nikah.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN