Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
PUTRAJAYA, 24 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan atau PeKa B40 bagi menangani isu penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi dalam kalangan golongan B40 di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata butiran lebih lanjut berhubung skim PeKa B40 akan diumumkan pada 28 Jan ini.
Berucap pada majlis pelancaran Skim Perlindungan Nasional B40 atau Skim MySalam di sini hari ini, beliau berkata PeKa B40 akan saling melengkapi skim MySalam yang diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia.
Skim MySalam dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan di sini hari ini. Hadir sama Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Skim MySalam menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR). Melalui MySalam, kerajaan membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa satu daripada 36 penyakit kritikal.
Dr Dzulkefly berkata PeKa B40 dan mySalam berkongsi prinsip sosial yang sama iaitu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dr Mahathir dalam ucapannya ketika melancarkan skim mySalam berkata skim PeKa B40 pula adalah untuk golongan B40 berumur 50 tahun dan ke atas.
"Ia adalah projek perintis 2019 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta," kata Dr Mahathir.
Menteri Kesihatan menjelaskan mySalam pula ditawarkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berumur 18 hingga 55 tahun.
Menghuraikan skim PeKa B40, Dr Dzulkefly berkata ia akan memberi fokus kepada saringan kesihatan iaitu pengesanan awal terhadap NCD.
"Pengesanan awal adalah mustahak bagi mengelakkan keperluan rawatan yang rumit serta kos yang tinggi sekiranya pesakit didiagnos lewat atau sudah berada pada tahap kritikal.
"Inisiatif ini dilihat akan memberi impak jangka panjang terhadap tahap kesihatan rakyat Malaysia secara umumnya," katanya.
mySalam pula, katanya akan memberi fokus kepada pemberian manfaat-manfaat kepada penerima apabila baru menghidap satu daripada 36 jenis penyakit kritikal.
"Bagi memastikan kejayaan kedua-dua skim ini, KKM dan Kementerian Kewangan telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi memastikan kesinambungan dari segi manfaat yang diberikan.
"Ini bertepatan dengan semangat dan hasrat kerajaan hari ini untuk meningkatkan kerjasama antara semua kementerian bagi memacu sinergi, demi kesejahteraan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN