Wanita jangan pandang remeh perut buncit dan kurang selera makan



SEREMBAN, 25 Jan (Bernama) -- Kebanyakan wanita di negara ini tidak merasakan masalah perut yang buncit dan kurang selera makan sebagai tanda-tanda awal masalah kesihatan serius yang boleh mengancam nyawa mereka.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) Dr Mohamad Faiz Mohamed Jamli berkata simptom-simptom di atas adalah petanda awal penyakit kanser ovari, yang kini berada di tangga keempat kanser yang kerap menyerang wanita, selepas kanser payudara, rahim dan serviks.

“Majoriti pesakit saya datang apabila kanser ovari telah berada di tahap tiga dan empat kerana lambat dikesan dan ada juga pesakit saya yang seawal sembilan tahun sudah didiagnos dengan kanser ini.

“Sebab itu amat penting untuk wanita di luar sana, terutama yang latar belakang keluarga mempunyai sejarah penyakit kanser untuk membuat saringan awal seperti melalui pemeriksaan pap smear, yang bukan sahaja boleh mengesan kanser serviks tetapi juga kehadiran sel pra kanser lain di dalam badan,” katanya kepada pemberita di sini.

Dr Mohamad Faiz berkata kebanyakan pesakit yang telah membuat pembedahan membuang ketumbuhan di dalam perut perlu meneruskan rawatan dengan kimoterapi bagi memastikan sel-sel kanser di dalam badan dapat dimatikan sepenuhnya dan mengelak penyakit kanser berulang.

Beliau berkata majoriti pesakit yang menghidap kanser ovari ini berusia dalam linkungan 45-69 tahun dan rata-rata tidak mengesyaki ketidakselesaan di perut sebagai petanda awal kepada kanser ini.

“Justeru itu, sempena Hari Wanita Sedunia pada Mac ini, Persatuan O&G Negeri Sembilan akan menganjurkan Kempen Kesedaran Kanser Wanita yang memfokuskan pada kanser ovari tahun ini,” katanya.

Beliau berkata pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memastikan objektif utama kempen ini, iaitu meningkatkan kesedaran wanita untuk menjalani pemeriksaan berkala bagi mengesan awal penyakit kanser, tercapai.

“Kanser ovari merupakan pembunuh senyap di kalangan wanita pelbagai peringkat usia dan tidak ada kaedah penyaringan yang tertentu ditetapkan, kerana itu kanser ovari ini tidak dapat dikesan awal,” katanya.

Dr Mohamad Faiz berkata antara program yang telah dirancang ialah pemeriksaan pap smear di Klinik pakar O&G HTJS setiap hari sepanjang Mac ini, dan setiap Jumaat sepanjang Mac ini di klinik kesihatan seluruh Negeri Sembilan.

“Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka akan merasmikan kempen ini pada 9 Mac.

“Acara lain ialah Larian Kesedaran Kanser Ovari yang akan diadakan pada 7 April dengan jangkaan peserta seramai 1,500 orang,” katanya.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2