SEREMBAN, 11 Feb (Bernama) – Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri masih menunggu keputusan rasmi Kementerian Kesihatan mengenai kedudukan Pusat Perubatan Mawar (PHM) di sini.
Katanya sehingga kini kerajaan negeri belum menerima apa-apa surat daripada Kementerian Kesihatan untuk mengambil alih pusat perubatan tersebut.
"Jadi, keputusan belum dibuat dan saya tidak tahu. Saya pun tidak ada berjumpa dengan Menteri Kesihatan mahupun Timbalan Menteri Kesihatan, jadi kita tak tahu. Cuma, saya dengar nak diberi kepada Menteri Besar Incorporated (MBI).
“Bagaimanapun, kita (kerajaan negeri) bersedia berbuat demikian (mengambil alih) jika diarahkan, tiada masalah. Walaupun tiada kepastian. Saya dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri, mereka sentiasa bersedia 24 jam jika apa-apa berlaku di pusat perubatan itu. Bermakna, pesakit-pesakit itu akan dipastikan terus menerima rawatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Aminuddin berkata demikian ketika diminta mengulas laporan pusat perubatan itu yang akan memberhentikan operasinya pada Khamis ini, berikutan Kementerian Kesihatan membatalkan lesen pusat perubatan itu baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata setakat ini PHM mempunyai 274 pesakit yang sedang mendapatkan rawatan.
“Sekiranya kerajaan negeri ambil alih PHM, kita akan terus berikan rawatan kepada pesakit-pesakit sedia ada di pusat tersebut dengan 57 kakitangan PHM sedia ada.
“Kita akan gunakan dana kecemasan dari kerajaan persekutuan bagi menampung kos, termasuk kos rawatan dan gaji kakitangan,” katanya.
Katanya buat masa ini PHM beroperasi tanpa lesen namun atas budi bicara Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, PHM dibenarkan meneruskan rawatan kepada pesakit-pesakitnya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN