Ubat Untuk Penghidap Diabetes - Insulin Dan Suntikan Lain



Oleh Emeritus Profesor Datuk Dr. Mustaffa Embong, Pakar Perubatan Diabetologi , Institut Diabetes Negara (NADI)

 

KUALA LUMPUR(Bernama)-- Dalam penulisan terdahulu mengenai ubat-ubatan untuk penghidap diabetes, penulis membangkitkan penggunaan ubat oral (pil) untuk rawatan diabetes sebagai tambahan (bukan gantian) kepada diet sihat dan aktiviti fizikal berkala.

Dalam isu ini, penulis akan membincang secara ringkas mengenai penggunaan insulin dan suntikan lain dalam rawatan kedua-dua jenis diabetes jenis1 dan jenis 2 selain ubat-ubatan lain yang biasa dipreskripsikan untuk pesakit diabetes.

 

APA ITU INSULIN?

Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh sel beta dalam pankreas iaitu organ yang terletak di belakang perut. Fungsi utama insulin adalah untuk membantu glukosa dari peredaran masuk ke sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga. Insulin dilepaskan ke dalam aliran darah sebagai tindak balas kepada makanan yang kita ambil manakala sedikit insulin latar belakang masih ada ketika kita tidak makan untuk mengekalkan tahap glukosa darah disebabkan glukosa masih dihasilkan oleh hati.

Bagi orang yang menghidap diabetes jenis 1, badan menghasilkan sedikit atau tiada langsung insulin disebabkan sel beta yang membuat insulin telah musnah oleh suatu tindak balas autoimun. Pada mereka yang mempunyai diabetes jenis 2, badan masih menghasilkan insulin tetapi ia tidak mencukupi kerana badan tidak bertindak balas dengan sebaiknya terhadap insulin - suatu keadaan yang disebut sebagai rintangan insulin.

Sekiranya digunakan dengan betul, insulin adalah berkesan dan selamat dan kebanyakan jenis boleh digunakan bagi wanita yang mengandung atau menyusu.

 

KEGUNAAN INSULIN BAGI PENGHIDAP DIABETES

Seperti yang dijangka, individu yang menghidap diabetes jenis 1 akan memerlukan insulin gantian (untuk hidup). Orang yang mempunyai diabetes jenis 2 juga boleh diberi insulin dalam keadaan akut seperti ketika mengalami ketoasidosis, jangkitan atau menjalani operasi major dan semasa mengandung. Kadang-kadang, insulin juga dipreskripsikan untuk 'merehat' sel-sel beta, biasanya pada mula didiagnos dan semasa mengalami simptom yang teruk.

Tetapi, bagi diabetes jenis 2, insulin kebanyakannya digunakan kerana kegagalan sel beta. Diabetes jenis 2 merupakan suatu keadaan progresif dengan penurunan pengeluaran insulin dari masa ke masa disebabkan oleh disfungsi/kematian sel-sel beta. Dan, selepas 10-20 tahun menghidap diabetes, sebanyak 50 hingga 70 peratus penghidap diabetes jenis 2 dijangka memerlukan insulin (biasanya sebagai tambahan kepada pil yang dimakan) untuk mengawal kadar glukosa darah dengan betul.

 

JENIS-JENIS INSULIN

 

Kebanyakan jenis insulin yang terdapat di Malaysia sekarang adalah disintesis berdasarkan gen insulin manusia ('insulin manusia'). Insulin manusia juga telah diubahsuai untuk menghasilkan insulin dengan ciri-ciri unik ('insulin analog').

Insulin diklasifikasikan berdasarkan terutamanya atas tempoh tindakan mereka - secara klasik sebagai insulin bertindak pendek, sederhana dan panjang (lihat Jadual 1)

 

JADUAL 1: JENIS-JENIS INSULIN     

 

Jenis (berdasarkan tindakan)

Tempoh Tindakan *

Contoh

 

Insulin bertindak cepat

(analog)

 

3-6 h

(bermula 10-20 min;

puncak 1-2 h )**

 

'Humalog ' (Lispro),

'Novorapid ' (Aspart),

'Apidra' (Glulisine)

Insulin bertindak pendek (manusia)

6-8 h

(bermula 30-60 min;

puncak 2-4 h )**

 

'Humulin R',

'Actrapid'

 

Insulin bertindak sederhana (manusia)

 

12-24 h

(bermulan 2-4 h;

puncak 4-8 ​​h)**

 

'Humulin N',

'Insulatard',

Insulin NPH

 

Insulin bertindak panjang (analog)

 

24-36 h

(bermula 1-2 h;

puncak minimum)

'Lantus' (Glargine) ,

'Levemir' (Detemir),

'Toujeo’ (Glargine                  

               U-300)

 

Insulin bertindak Ultra-panjang (analog)

 

Kira-kira 42 jam

(bermula 1-4 h;

Tiada berpuncak penting

 

'Tresiba' (Degludec)

Insulin pra-campuran

 

12-24 h

(mulaan berubah mengikut jenis)

'Mixtard 30',

'Humulin 30/70',

'NovoMix 30',

'Ryzodeg'

 

  * anggaran; ** dari masa suntikan

 

  

BAGAIMANA INSULIN DIGUNAKAN

Pada masa ini, insulin hanya boleh diberi melalui suntikan (walaupun ujian sedang ada dibuat untuk memberi insulin secara semburan atau dalam bentuk pil yang boleh diambil secara oral). Insulin disuntik melalui kulit ke dalam tisu lemak yang dikenali sebagai lapisan subkutan (tidak ke dalam otot atau saluran darah). Kawasan biasa untuk suntikan adalah perut anda (abdomen), lengan atas, punggung dan paha. Pendidik diabetes akan mengajar bagaimana dan di mana untuk menyuntik insulin secara selamat.

Bilangan suntikan insulin bergantung kepada banyak faktor termasuk jenis diabetes yang dihidapi, tahap kekurangan insulin dan jenis insulin yang digunakan (serta pilihan anda). Cara memberi dos insulin yang terpilih adalah yang dapat meniru pelepasan insulin fisiologik pada orang yang tiada diabetes di mana pancang insulin dilepaskan apabila anda mengambil makanan dan insulin yang rendah dikeluarkan semasa anda tidak makan (contohnya semasa tidur) untuk mengawal pelepasan glukosa dari hati. Oleh itu, penghidap diabetes jenis 1 (contohnya kanak-kanak) dan mereka yang mempunyai diabetes jenis 2 tetapi berkurangan insulin (contohnya disebabkan telah lama menghidap diabetes) secara idealnya akan mengambil insulin bertindak cepat (insulin semasa makan) sebelum setiap makan (utama) dan satu lagi suntikan insulin berjangka panjang (dipanggil insulin basal) sebelum tidur.

Memberi suntikan insulin adalah mudah dan sangat senang kerana kebanyakan jenis suntikan disediakan sebagai pengisian buang sekali pakai (dengan jarum yang halus) yang boleh dibawa bersama-sama di dalam poket baju atau dompet. Doktor akan memilih rejimen insulin yang paling sesuai untuk penghidap diabetes dan menentukan dos yang betul untuk membawa glukosa darah ke tahap yang disyorkan.

Memandangkan insulin adalah sangat berkuasa untuk membawa glukosa darah ke tahap terendah, maka ada kemungkinan besar penghidap akan terkena hipoglikemia (paras glukosa darah rendah, 'hypo') jika menyuntik terlalu banyak insulin atau tidak mengambil makanan pada masa yang ditetapkan (atau melakukan eksersais berat). Atas sebab ini, semua orang yang mengambil insulin mestilah melakukan ujian glukosa darah secara berkala di rumah dengan menggunakan glukometer mudah alih. Glukosa darah biasanya diuji semasa bangun pagi ('"berpuasa"), sebelum dan dua jam selepas makan utama, sebelum tidur, sebelum, semasa dan selepas eksersais dan pada bila-bila masa yang anda berasa tidak sihat. Doktor anda akan menasihati anda mengenai bilangan ujian yang perlu anda lakukan dan masa. Sentiasalah catat keputusannya dan bawa ke klinik untuk dibincang dengan doktor atau pendidik diabetes. Atas sebab ini juga, anda mestilah tahu simptom-simptom awal 'hypo' dan bagaimana untuk menghentikannya dengan berkesan.

 

AGONIS RESEPTOR PEPTIDA-1 SEPERTI GLUKAGON (GLP-1 RA)

Satu kumpulan ubat suntikan baru yang dikenali sebagai agonis reseptor peptida-1 seperti glukagon (GLP-1 RA) kini didapati di Malaysia (lihat Jadual 2). GLP-1 RA, dalam bentuk alat pena yang tersiap khusus (dan dicucuk secara subkutan seperti insulin) diguna bagi rawatan penghidap diabetes jenis 2 yang tidak terkawal baik dengan pil. Ia berfungsi secara meniru fungsi hormon incretin semulajadi dalam badan yang membantu menurunkan tahap glukosa darah selepas makan termasuk merangsang pankreas untuk melepaskan insulin,  menghalang pelepasan glukagon (satu hormon yang merangsang hati untuk melepaskan glukosa) dan melambatkan pengosongan perut selepas makan (membuat anda merasa kenyang untuk lebih lama selepas makan).

 

JADUAL 2: JENIS-JENIS AGONIS RESEPTOR PEPTIDA-1 SEPERTI GLUKAGON

 

Nama

Kekerapan Suntikan

Contoh

Exenatide

Dua kali sehari

‘Byetta’

Liraglutide

Sekali sehari

Victoza

Dulaglutide ;

Exenatide pelepasan berpanjangan

Sekali seminggu

‘Trulicity’ ;

‘Bydureon’

 

 

Selain meningkatkan kawalan diabetes, agonis reseptor peptida-1 seperti glukagon juga diketahui menyebabkan penurunan berat badan apabila diguna bersama-sama dengan penjagaan makan dan senaman. Oleh itu, ia biasanya digunakan untuk penghidap diabetes jenis 2 yang juga mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Penurunan berat badan penghidap diabetes juga akan memperbaiki tahap glukosa darah mereka. GLP-1 RA juga berguna bagi mereka yang mempunyai diabetes jenis 2 yang terdedah kepada tahap glukosa darah rendah (‘hypo’) kerana ubatan ini biasanya tidak menyebabkan hipoglikemia .

Satu kelemahan dalam penggunaan agonis reseptor peptida-1 seperti glukagon adalah kesan buruknya yang biasa pada saluran pencernaan: GLP-1 RA cenderung untuk menyebabkan ketidakselesaan perut seperti mual, muntah dan cirit-birit terutamanya semasa permulaan rawatan. Oleh itu, doktor mungkin menasihatkan supaya memulakan dengan dos lebih rendah dan meningkatkan ubat  secara perlahan-lahan untuk mengurangkan kesan sampingan ini.

 

          UBAT-UBATAN LAIN YANG MUNGKIN PERLU DIAMBIL

 

Penghidap diabetes sering mengalami tekanan darah tinggi dan paras lemak ('kolesterol') darah  tidak normal yang boleh meningkatkan risiko komplikasi diabetik seperti serangan jantung, strok atau kegagalan buah pinggang. Doktor mungkin memberi ubat-ubatan berikut untuk mengawal keadaan yang tidak normal ini.

 

 

UBAT UNTUK MENURUNKAN TEKANAN DARAH  

Ubat yang dinamakan inhibitor enzim penukar angiotensin (ACE-I) (contohnya 'Coversyl') atau penghalang reseptor angiotensin (ARBs) (misalnya ‘Cozaar’) biasanya dipreskripsikan untuk mengawal tekanan darah penghidap diabetes. Ubat-ubatan lain seperti penghalang beta (contohnya 'Metoprolol') dan penyekat saluran kalsium (contohnya 'Norvasc') juga boleh diberi secara kombinasi dengan ACE-I atau ARB untuk mengawal tekanan darah dengan lebih baik.

 

UBAT UNTUK MENGAWAL KOLESTEROL DARAH

 

Statin (contohnya 'Lipitor') adalah kumpulan ubat yang paling biasa dipreskripsikan untuk menurunkan tahap kolesterol darah tinggi. Doktor mungkin memberi ubat penurun kolesterol yang lain (contohnya 'Fenofibrate') jika penghidap diabetes tidak tertoleransi terhadap statin. Kadang-kadang, penghidap diabetes perlu mengambil lebih daripada satu jenis ubat menurunkan paras kolesterol kepada paras sasaran.

 

UBAT UNTUK DARAH KURANG MELEKAT

Kajian menunjukkan bahawa mengambil aspirin dos rendah setiap hari dapat membantu mengurangkan risiko serangan jantung dan strok. Aspirin - yang paling biasa digunakan (dan paling murah) - membuat zarah darah (dipanggil platelet) kurang lengket. Bagaimanapun, aspirin tidak selamat untuk semua orang kerana kemungkinan alergi atau perdarahan dalam perut. Bincang dengan doktor jika perlu mengambil aspirin. Doktor  mungkin memberi ubat penipisan darah alternatif (contohnya ‘Plavix’) jika alah kepada aspirin.

 

BERI KERJASAMA KEPADA DOKTOR DEMI KESIHATAN

Doktor akan menentukan jenis terbaik ubat oral atau suntikan untuk penghidap diabetes dan sama ada perlu mengambil hanya satu jenis atau kombinasi ubat-ubatan (termasuk insulin atau lain-lain suntikan) untuk mencapai sasaran glukosa darah (dan untuk keadaan lain yang berkaitan seperti tekanan darah tinggi atau lemak darah yang tidak normal).

Ia juga penting untuk diutarakan selali lagi bahawa penghidap diabetes mestilah mengambil ubat-ubatan seperti yang ditetapkan oleh doktor. Harap janganlah mengubah dos (atau kekerapan) tanpa terlebih dahulu berunding dengan doktor. Maklumkan kepada doktor jika tidak selesa dengan satu-satu ubat (contohnya kerana kesan sampingan atau kos) oleh kerana ubat alternatif biasanya tersedia ada.

Doktor dan pasukan pengurusan diabetes boleh membantu mencapai sasaran kesihatan supaya kekal sihat, bebas daripada komplikasi. Berbincanglah selalu dengan mereka jika mempunyai masalah mengenai rawatan anda.

Akhirnya, kesihatan (terbaik) adalah di tangan anda sendiri. Doktor atau pasukan penjagaan kesihatan hanya boleh menasihatkan anda (dalam masa hanya beberapa minit sahaja) sekali dalam beberapa bulan. Anda  bersendirian sepanjang hari dan bulan (sebelum lawatan klinik seterusnya).

Untuk memastikan kesihatan yang baik (walaupun menghidap diabetes), anda mestilah berdisiplin dan membuat komitmen tegas untuk menjaga kesihatan  - dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil ubat-ubatan seperti yang ditetapkan (dan ikut nasihat yang diberikan) oleh doktor. Kami yakin anda dapat melakukan ini untuk kepentingan diri sendiri dan orang yang anda sayangi. Insya-Allah.

 

 

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018