Daripada Dhiyaulhaq Hamzah
SANA'A, (Yaman) 20 Feb (Bernama) -- Keadaan bayi yang mengalami masalah malnutrisi di sebuah hospital di ibu negara Yaman, Sana'a boleh menyentap perasaan sesiapa saja yang melihatnya.
Akibat tidak cukup zat dalam badan susulan kemiskinan dan konflik perang saudara, bayi-bayi ini mengalami kurang berat badan, kembung di bahagian perut malah ada yang mengalami kecacatan di bahagian kepala, akibat malnutrisi.
Demikian yang diceritakan oleh Wartawan Bernama News Channel, Dhiyaulhaq Hamzah, yang kini berada di Yaman bagi mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan -#PeduliYaman anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia.
“Ia suatu pengalaman menyedihkan melihat kesan peperangan kepada bayi-bayi tidak berdosa. Saya merasa sebak melihat bayi-bayi ini dalam keadaan yang menyedihkan. Bersyukur kita rakyat Malaysia mendapat banyak bantuan perubatan tidak seperti bayi-bayi ini”, kata Dhiyaulhaq.
Turut serta dalam Misi #PeduliYaman Ketuanya Syahrir Azfar Saleh, 32; Mohd Asril Syahril, 24 tahun.
Sukarelawan GPM bersama delegasi Sanid Organisation turut bertemu Dr. Obaid A. Al. Ademi, Naib Pengerusi Perhubungan Klinikal dan Teknikal Hospital Republican.
Dedah beliau, hospital kedua terbesar di Yaman ini beroperasi menggunakan generator sejak dua tahun lepas.
"Masih ada bahan api untuk generator. Ya, kami bergantung kepada generator. Kami bergantung kepada bantuan bahan api daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Adakalanya kami beli bahan api dari stesen minyak di sini," kata Dr. Obaid kepada Bernama News Channel (Astro 502).
Ketua Misi Peduli Yaman, Syahrir Azfar Saleh berkata, keperluan ubat-ubatan di hospital berkenaan juga perlu diberi perhatian masyarakat antarabangsa.
"Banyak keperluan dari sudut mesin, perubatan serta keperluan untuk rakyat Yaman khususnya mereka yang terkesan dengan peperangan memerlukan bantuan segera dari seluruh dunia untuk kembali kepada kehidupan asal" kata Syahrir.
Sukarelawan juga dibawa melawat wad hemodialisis di hospital ini, yang beroperasi dengan baik namun kekurangan alat penapis darah, iaitu komponen bagi mesin hemodialisis.
Difahamkan hanya dua kematian membabitkan wabak kolera dilaporkan dari pusat rawatan kolera ini dalam tempoh tiga bulan.
Ia adalah hasil pendidikan kesedaran mengenai wabak kolera yang dikendalikan pasukan perubatan dari pusat ini ke kem-kem pelarian.
Diianggarkan lebih dua juta pelarian dari wilayah Tahamah, Hajjah dan Hudaidah berlindung di kem-kem pelarian sekitar bandar Sana’a yang dikuasai pemberontak Houthi.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN