Kerajaan Johor kaji wajibkan suntikan vaksin

Johor

JOHOR BAHRU, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan mengkaji untuk mewajibkan ibu bapa memberi suntikan vaksin imunisasi kepada anak-anak mereka sekali gus mengelakkan sebarang risiko berikutan tidak memberikan suntikan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata hal ini berikutan penyakit dan kes yang jarang ditemui seperti difteria yang kini sudah mula dikesan di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju dan menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan suntikan vaksin imunisasi.

"Jika Kerajaan Persekutuan ingin mewajibkan vaksinasi atau memberi hukuman dan denda kepada mereka yang mengelak untuk diberi vaksinasi, saya sangat setuju.

"Maknanya, kita beri penekanan wajib kepada semua untuk diberi suntikan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, semalam, yang akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Khamis lepas (21 Feb) , seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun sebulan maut, di sini, disyaki akibat jangkitan difteria di mana kanak-kanak berkenaan tidak pernah menerima sebarang suntikan imunisasi sejak dilahirkan.

Dalam pada itu, Sahruddin berkata sebanyak 90 peratus kanak-kanak di negeri ini menerima suntikan vaksin imunisasi yang disarankan Kementerian Kesihatan.

"Kebanyakan ibu bapa salah anggap tentang kepentingan vaksin dan kebanyakan penyakit yang boleh menyebabkan kematian jika tidak diberi vaksin adalah penyakit pertusis, difteria dan campak," katanya.

Justeru itu, beliau berkata ibu bapa disarankan supaya peka mengenai pelbagai maklumat yang diberikan oleh golongan profesional seperti doktor bertauliah berbanding mendengar sebarang maklumat daripada golongan anti vaksin bagi mengelak kejadian tidak diingini.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2