PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Proses pendaftaran dan tuntutan secara dalam talian bagi skim perlindungan kesihatan nasional, mySalam, untuk golongan B40 dijamin mudah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Katanya, laman web rasmi skim mySalam di pautan www.mysalam.com.my telah mula beroperasi hari ini.
“Perlindungan di bawah skim ini telah bermula 1 Jan manakala pendaftaran dan perkhidmatan sokongan pelanggan akan beroperasi mulai 1 Mac," katanya pada sidang media memaklumkan pengoperasian laman web rasmi mySalam di sini hari ini.
Skim mySalam menawarkan perlindungan kesihatan secara percuma kepada penerima B40 yang layak untuk 36 penyakit kritikal sehingga RM8,000 dan memberi bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun.
Inisiatif itu adalah hasil kerjasama kerajaan dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings, yang menyumbang caruman dana permulaan RM2 bilion ke dalam dana amanah, mySalam.
Lim berkata rakyat yang mendapatkan rawatan di mana-mana hospital kerajaan boleh membuat permohonan namun tertakluk kepada syarat bahawa mereka berpendapatan rendah.
“Saya memberi jaminan, proses pendaftaran dan tuntutan secara dalam talian ini adalah lebih mudah yang melibatkan maklumat peribadi. Ahli keluarga lain termasuk anak dan cucu juga boleh membantu untuk mengisi borang itu secara dalam talian.
“Jika masih berdepan dengan masalah untuk daftar dan buat tuntutan mereka juga boleh berjumpa dengan kami untuk penyelesaian,” katanya.
Lim berkata, tuntutan skim mySalam juga boleh dibuat di agensi-agensi yang akan diumumkan dalam laman web serta di hospital kerajaan.
Mengenai isu keselamatan data penerima mySalam, Lim berkata semua data yang diambil adalah terpelihara di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Mengenai rungutan jumlah RM8,000 dianggap tidak mencukupi bagi menampung kos rawatan 36 penyakit kritikal, Lim berkata perlindungan insurans yang pertama seumpamanya itu adalah usaha terbaik yang dapat dilakukan kerajaan pada hari ini untuk membantu golongan kurang bernasib baik.
"Ini satu jaringan keselamatan yang tidak pernah ada sebelum ini dan adalah inisiatif kerajaan baharu bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan (akibat ditimpa penyakit)," katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN