Merokok di kedai makan: 6 Mei untuk dengar semakan kehakiman



KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Pendengaran permohonan semakan kehakiman difailkan tujuh individu bagi mencabar larangan merokok di semua premis makan yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Jan 2019, ditetapkan pada 6 Mei ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Nasbal Harun yang mewakili Mohd Hanizam Yunus dan enam yang lain manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak KKM sebagai responden.

"Hakim juga memerintahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 29 April," kata Nasbal kepada pemberita dan memaklumkan bahawa mahkamah sama pada 29 Jan telah memberi kebenaran kepada anak guamnya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.

Tujuh individu itu ialah Mohd Hanizam, 52, dan enam yang lain iaitu Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan itu, mereka dan perokok yang lain  yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok menamakan KKM sebagai responden mendakwa  bahawa larangan merokok tersebut bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah dan aktiviti terbabit sah dari segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.

Mereka mendakwa rakyat Malaysia yang merokok  secara konstruktifnya diketepi dan didiskriminasi daripada mengunjungi serta menikmati kemudahan di premis makan melalui larangan merokok dan ia bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang dan salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan.

Selain itu, kata mereka, kerajaan juga tidak memperuntukkan kemudahan kawasan merokok yang terasing atau memberi peruntukan untuk pengusaha premis makan melaksanakan budi bicara masing-masing bagi mengadakan kawasan merokok asing.

Mereka  memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan kementerian dan memohon perisytiharan bahawa keputusan penguatkuasaan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perintah larangan bagi menghalang responden sama ada melalui dirinya sendiri atau ejen atau wakil daripada menguatkuasakan larangan berkenaan.

KKM mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makan berkuat kuasa 1 Jan 2019 melibatkan semua premis makanan seperti restoran tertutup, berhawa dingin dan warung konsep terbuka.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018