TPM lancar dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara



SEPANG, 27 Feb (Bernama) —  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) yang melindungi hak asasi pekerja untuk mendapatkan persekitaran pekerjaan yang selamat, sihat dan kondusif.

Beliau berkata dasar berkenaan yang dipersetujui Jemaah Menteri dan ditandatangani Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan  dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini. 

“Dasar ini mesti dihormati oleh majikan dan pekerja. Jika tidak, ini boleh mengakibatkan pelanggaran perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Tindakan punitif akan diambil oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) seperti notis, sita, kompaun dan tindakan mahkamah di semua sektor pekerjaan. Ia bukan lagi sekadar cakap-cakap, ” katanya ketika berucap pada majlis anugerah cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 dan pelancaran DKKPN di sini hari ini. 

Tambah Dr Wan Azizah, dasar  berkenaan adalah sebahagian daripada Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020 dan merupakan sejarah baharu dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara.

DKKPN yang dilancarkan malam ini terpakai kepada semua tempat kerja, majikan dan pekerja yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan perlu disemak semula secara berkala. 

Matlamat dasar berkenaan ialah untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pengurusan risiko yang mampan di tempat kerja dalam melindungi majikan dan pekerja Malaysia di samping meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. 

Dalam ucapannya Dr Wan Azizah turut mengimbau kenangan sewaktu beliau menjadi doktor mata dan merawat seorang pekerja ladang kelapa sawit yang luka kelopak mata apabila daun kelapa sawit terjatuh menimpanya. 

Tambah beliau, pada masa itu beliau terfikir apa jaminan keselamatan dan kesihatan untuk pekerja kelapa sawit berkenaan. 

Dr Wan Azizah berkata, semua  pihak termasuk kerajaan, majikan dan pekerja sendiri perlu  berganding bahu dan memberi komitmen padu kepada  DKKPN bagi mencapai matlamat budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran dalam ucapannya berkata, JKKP kini dalam fasa akhir pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

Antara cadangan pindaan termasuklah menaikkan jumlah penalti maksimum bagi pelanggaran peruntukan perundangan dan memperkenalkan peruntukan perundangan yang lebih terperinci bagi menjelaskan isu seperti kewajipan kontraktor utama. 

“Saya berharap agar pindaan akta ini dapat diluluskan oleh Parlimen pada tahun ini agar penguatkuasaan yang berkesan dan tegas dapat dilakukan,” katanya lagi. 

 

— BERNAMA 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018