21 pelajar terhidu gas di Pasir Gudang dirawat di HSI

Teo Nie Ching (kiri) menziarahi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Puteh, Shahida di Hospital Sultan Ismail, semalam.

JOHOR BAHRU, 8 Mac (Bernama) -- Seramai 21 pelajar dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, sejak semalam, selepas terhidu gas dipercayai metana yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata sembilan daripada pelajar itu adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih manakala 12 lagi adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, Pasir Gudang.

“Dua daripada 12 pelajar SMK Pasir Putih, kedua-duanya perempuan, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan, namun, kedua-duanya stabil,” katanya kepada pemberita selepas melawat kesemua mangsa berkenaan di HSI, hari ini, dengan diiringi Timbalan Pengarah Perubatan II HSI Dr Surya Masrom.

Teo berkata selain 21 pelajar tersebut, terdapat dua mangsa lain melibatkan warga sekolah turut dirawat di hospital sama, iaitu seorang pengusaha kantin yang dirawat di ICU dan seorang guru sejarah yang dirawat di wad biasa.

Beliau berkata setakat ini keputusan penutupan SK Pasir Putih dan SMK Pasir Putih masih kekal sehingga Sabtu ini, namun, pemantauan sedang dilakukan sama ada sesi persekolahan kedua-dua sekolah tersebut sesuai diteruskan semula, Ahad ini.

Katanya kejadian tersebut disifatkan terburuk setakat ini kerana selain mengalami muntah, terdapat dua pelajar yang terpaksa dirawat di ICU.

“Pernah ada satu kes di sebuah sekolah di Klang, Selangor, tahun lepas, di mana murid-murid terpaksa disuraikan pulang ke rumah kerana berlaku kebocoran gas di sebuah kilang ais berdekatan sekolah itu. Memang ada yang muntah tetapi tidak seteruk yang berlaku di Pasir Gudang ini sehinggakan ada pelajar yang perlu dirawat di ICU,” katanya.

Sementara itu, Dr Surya berkata secara keseluruhannya terdapat 39 mangsa dirawat di HSI sehingga kini merangkumi 21 pelajar berkenaan, seorang pengusaha kantin, seorang guru sejarah, seorang pemandu ambulan, seorang jururawat, seorang doktor serta orang awam yang juga penduduk di situ.

Beliau berkata daripada 39 mangsa, empat daripadanya dirawat di ICU iaitu dua pelajar perempuan, seorang pengusaha kantin serta seorang pemandu ambulans.

“Dijangkakan terdapat sebahagian mangsa yang ditempatkan di wad biasa akan dibenarkan pulang ke rumah hari ini selepas keadaan mereka didapati sihat. Mereka yang berada di ICU pula masih dipantau, namun, kesemuanya stabil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang media di Perak memaklumkan setakat pukul 7 pagi tadi, seramai 36 orang termasuk 21 pelajar sekolah masih ditempatkan di HSI.

Beliau berkata daripada 39 orang yang dirujuk ke HSI semalam, tiga telah dibenarkan pulang pagi ini, manakala 36 masih dirawat dengan enam daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya seramai 36 yang masih dirawat terdiri daripada lapan pelajar sekolah rendah, 13 pelajar sekolah menengah serta 13 orang dewasa termasuk seorang anggota Jabatan Alam Sekitar dan empat anggota petugas kesihatan.

"Tiga daripada yang ditempatkan di ICU diberi rawatan 'intubation' untuk mengawal paru-paru dan pernafasan dan kini mereka berada dalam keadaan baik manakala tiga lagi pesakit tidak diberi rawatan 'intubation'.

"Mangsa yang ditempatkan di wad biasa dijangka dibenarkan pulang ke rumah hari ini selepas keadaan mereka didapati sihat sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan 2019 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Ipoh, hari ini.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018