Perak kenal pasti tiga cadangan tapak bagi Hospital Kampar baharu

A. Sivanesan (gambar fail)

KAMPAR, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak sedang mengkaji tiga cadangan tapak yang telah dikenal pasti bagi projek pembinaan hospital baharu di daerah ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia A. Sivanesan.

Beliau berkata kajian terperinci itu penting kerana lokasi pembinaan hospital baharu tersebut yang dicadangkan oleh kerajaan negeri sebelum ini tidak selamat memandangkan ia adalah tanah bekas lombong.

Menurut Sivanesan, kajian akan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di ketiga-tiga lokasi baharu tersebut yang terletak dalam radius 10 kilometer dari Hospital Kampar sedia ada.

“JKR syorkan tapak asal yang dicadangkan sebelum ini tidak sesuai untuk bangunkan hospital memandangkan ia adalah bekas lombong dengan 60 peratus air dan 40 peratus tanah.

“Ia (tapak asal cadangan) telah dibatalkan jadi pihak Kementerian Kewangan meminta kita untuk memberi cadangan tapak baharu untuk meneruskan projek tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Kampar di sini hari ini. Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Keranji, Chong Zhemin.

Sivanesan berkata pihaknya komited untuk meneruskan projek pembinaan Hospital Kampar baharu tersebut dan mahu isu tapak dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat khususnya masyarakat di sekitar Kampar.

Katanya Hospital Kampar yang lama tidak dapat menampung keperluan masyarakat di daerah tersebut yang hanya mempunyai 68 katil selain beberapa blok ditafsirkan tidak selamat digunakan oleh JKR.

“Kita akan melihat kesemua cadangan kawasan ini dan perkara ini akan dibawa kepada Jawatankuasa Bertindak Kesihatan yang dipengerusikan saya dalam tiga minggu akan datang bagi membincangkan mengenai tanah yang sesuai (untuk pembinaan hospital ini),” katanya.

Ditanya anggaran kos bagi pembinaan Hospital Kampar baharu tersebut, Sivanesan enggan mengulas dan berkata ia bergantung kepada tapak projek yang akan dipilih nanti.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018