AstraZeneca akan labur RM500 juta di Malaysia



PETALING JAYA, 12 Mac (Bernama) -- Syarikat farmaseutikal dan biofarmaseutikal multinasional Britain-Sweden, AstraZeneca memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Invest Kuala Lumpur Corporation (InvestKL) untuk melabur melebihi RM500 juta di Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ia berkata pelaburan itu akan memperkukuh komitmennya ke arah inovasi dan pembangunan pekerja di negara ini.

AstraZeneca berkata ia akan melaksanakan teknologi robotik dan kognitif baharu pada masa depan untuk menambah baik kecekapan dan memacu produktiviti bagi operasi global syarikat itu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pemeteraian itu di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Datuk Zainal Amanshah berkata syarikat itu akan memastikan pelaburan RM500 juta itu akan direalisasikan dalam tempoh 2019 sehingga 2023.

“Kami mahu bekerjasama dengan mereka sebanyak mungkin dari segi inovasi dalam kesihatan, digital dan pembinaan bakat. Ini merupakan peluang terbaik untuk bakat muda bekerja di syarikat global,” katanya.

AstraZeneca merupakan syarikat biofarmaseutikal yang menumpukan kepada penemuan, pembangunan dan pengkomersialan ubat-ubatan preskripsi khususnya bagi merawat penyakit bagi tiga bidang terapi merangkumi onkologi, kardiovaskular, buah pinggang dan metabolisme, dan pernafasan.

Berdasarkan MoA itu, AstraZeneca akan menubuhkan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur untuk menempatkan operasi perniagaan tempatan dan globalnya merentasi pelbagai fungsi termasuk kepimpinan kewangan dan perolehan di rantau ini.

Ketua Pegawai Kewangan AstraZeneca Marc Dunoyer berkata syarikat itu berhasrat memperkukuh kedudukannya di Malaysia memandangkan negara ini mempunyai pelbagai keistimewaan termasuk ekosistem perniagaan yang sofistikated, dasar mesra perniagaan dan infrastruktur yang maju.

“Kami menyasarkan mengambil 600 pekerja menjelang 2023 dengan hampir kesemuanya merupakan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu Pengerusi InvestKL Datuk Seri Michael Yam optimis ia mampu mencapai sasaran membawa 100 syarikat multinasional (MNC) untuk melabur di bandar itu menjelang 2020.

“Beberapa tahun lepas Apabila InvestKL ditubuhkan, kami disasarkan untuk membawa masuk 10 MNC setahun, namun kami berpandangan jumlah itu tidak memadai. Jadi, kami meletakkan sasaran 12 syarikat setahun dan saya mahu katakan InvestKL telah membawa sekurag-kurangnya 12, jika tidak 13 MNC.

“Bagi tempoh dua tahun akan datang, kami perlu membawa sekurang-kurangnya 11 MNC dan yakin mampu mencapai sasaran tersebut,” katanya sambil berharap kerajaan akan membenarkan InvestKL meneruskan peranannya membawa masuk pelaburan asing ke negara ini.

InvestKL ditubuhkan pada 2011 di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai pusat sehenti bagi MNC menubuhkan perniagaan di Greater Kuala Lumpur.

Sehingga Mac 2018, InvestKL berjaya membawa masuk 73 MNC dengan merekodkan pelaburan diluluskan dan komited RM11.07 bilion di samping mewujudkan 10,971 pekerjaan serantau berkemahiran  tinggi.

Menjawab soalan jika pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China ketika ini akan memberi kesan positif terhadap Malaysia, Yam menyifatkan ia akan membawa manfaat kepada negara.

“Tugas kami bukan sahaja untuk menarik syarikat AS dan China untuk membina kilang besar mereka di sini, tetapi juga mewujudkan hab dan ibu pejabat serantau seperti yang dilakukan AstraZeneca di sini,” katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018