Pengarah Kesihatan negeri Dr Selahuddeen Abd Aziz
JOHOR BAHRU, 12 Mac (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan tiada sebarang kematian akibat dari kejadian pembuangan sisa toksik di daerah Johor Bahru seperti yang tular di media sosial, malam ini.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Selahuddeen Abd Aziz turut menafikan penularan kenyataan melalui Whatsapp mengenai pengisytiharan Red Alert oleh pihak Hospital Sultan Ismail Johor Bahru yang turut tular hari ini.
“JKNJ ingin menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mempercayai dan menyebar maklumat palsu yang boleh menimbulkan kerisauan.
“Pihak JKNJ juga menyeru agar masyarakat lebih prihatin dan hanya mendapatkan maklumat sahih dari pihak berwajib. Maklumat terkini keadaan akan disiarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari semasa ke semasa,” kata beliau dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Kenyataan tular itu antara lain mendakwa pengarah hospital mengisytiharkan amaran ‘Red Alert’ kerana pencemaran udara yang tersebar di Pasir Gudang.
Ia turut mendakwa angin yang bertiup kencang menyebarkan toksik dan menyebabkan ramai penduduk di Seri Alam dan Plentong dimasukkan ke hospital.
Kenyataan berkenaan turut menasihatkan orang ramai supaya memakai topeng penutup mulut.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan (menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan) dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan (kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun).
“Sehubungan dengan kejadian itu (kejadian 7 Mac), pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu (pembuangan sisa toksik) agar dapat tampil membantu siasatan polis,” tambah beliau.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes ASP Nurul Bazilah Jaafar dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis Ibu Pejabat Daerah Seri Alam di talian 07-3864222.
Khamis lepas, pembuangan sisa kimia di sungai berkenaan mengakibatkan tiga insiden di empat sekolah di Pasir Gudang, dengan satu terbaru hari ini dipercayai kesan pencemaran dari bahan sisa berkenaan.
Terkini, 13 buah sekolah sekitar Pasir Gudang diarah tutup mulai esok sehingga satu tarikh ditetapkan kemudian.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN