JOHOR BAHRU, 13 Mac (Bernama) -- Situasi pencemaran berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang, setakat ini terkawal dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.
Osman yang mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hampir tiga jam tadi, berkata rakyat juga diminta jangan mempercayai serta menyebar maklumat-maklumat tidak benar yang tular sebaliknya sentiasa mengikuti informasi yang betul dari saluran yang benar.
“Kita lihat...menerusi laporan jabatan-jabatan yang terlibat, ini bukan suatu perkara yang kita boleh anggap sehinggakan kita kena insytihar darurat dan sebagainya. Tidak. Jauh daripada itu. Dalam keadaan terkawal,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini.
Menteri Besar juga meminta agar masyarakat bertenang dan memberi kerjasama penuh dan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk mengurus bencana ini dengan cekap, cepat dan selamat.
“Ketika ini kita tidak perlu menunding jari dan cari salah mana-mana pihak dan cuba bermain politik kerana fokus utama adalah untuk kerja-kerja pengawalan pencemaran dan mengurus serta merawat pesakit-pesakit yang terkesan dengan pencemaran ini,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, banyak faktor yang menyebabkan insiden itu berlaku, termasuk arah angin dan haba panas selain ia menjejaskan kawasan-kawasan tertentu sahaja.
Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran tersebut.
Osman berkata operasi pembersihan turut melibatkan tiga kontraktor dan ia diharapkan mengambil masa lebih kurang seminggu.
"Kerja pembersihan yang dilakukan itu melibatkan kawasan yang terjejas dengan pencemaran sepanjang 1.5 kilometer," tambahnya lagi.
Menteri Besar berkata kerja-kerja pembersihan akan turut mendapatkan bantuan dari Petronas, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Meteorologi serta menggunakan peralatan yang dimiliki mereka bagi memantau tahap dan radius pencemaran.
Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN