Sinar Harapan Untuk Pesakit Kanser Paru-Paru

Pakar perunding sistem pernafasan, Dr Ernest Poh Mau Ern (kiri) bersama pakar onkologi klinikal, Dr Adlinda Alip dan Pakar perunding pembedahan kardiotoraks Pusat Pakar UM (UMSC), Dr Sivakumar Krishnasamy (kanan) ketika ditemuramah Bernama baru-baru ini. Foto: Zulaikha Zainuzman

Oleh Jenny Imanina Lanong Abdullah dan Murni Nasri

Bahagian pertama daripada dua bahagian mengenai kanser paru-paru

 

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- Leen berusia enam tahun apabila datuknya didiagnos menghidap kanser paru-paru tahap empat.

“Saya amat bimbang Atuk (datuk) akan tinggalkan saya (meninggal dunia) meskipun saya tak tahu apa-apa tentang kanser pada masa itu, “ kata editor bebas berusia 43 tahun itu.

Beliau masih ingat betapa kuatnya semangat Atuk melawan penyakit kanser itu dan reda menerima takdir yang menimpa dirinya. Bagaimanapun, kesakitan yang ditanggung Atuk begitu teruk sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, sehingga Atuk sukar untuk senyum.


Pakar perunding sistem pernafasan, Dr Ernest Poh Mau Ern.

Apabila Leen bertambah dewasa, ibu saudaranya yang bongsu didiagnos dengan kanser yang serupa.

“Ibu saudara saya sememangnya tabah dan mahu sembuh tetapi dalam masa yang sama beliau susah hati. Selepas dua tahun didiagnos kanser paru-paru, ibu saudara saya meninggal dunia,” katanya.

Perkataan “kanser” memang akan menjadikan sesiapa pun takut dan tanggapan lazim tentang penyakit ini ialah “Hidup anda mungkin terhenti pada hari anda disahkan menghidap kanser.”

Mujurlah, di sebalik peningkatan jumlah kes kanser, kemajuan dalam teknologi perubatan memungkinkan doktor untuk mendiagnos penyakit kanser ini lebih awal. Keadaan ini meningkatkan juga peluang untuk pesakit kanser pulih daripada penyakit yang dihidapi itu.

Meskipun kanser itu sudah sampai ke peringkat akhir, masih ada harapan untuk rawatan yang boleh mendatangkan hasil yang menggalakkan.

Pakar perunding pembedahan kardiotoraks Pusat Pakar UM (UMSC), Dr Sivakumar Krishnasamy berkata masih ada harapan untuk pesakit kanser.

“Kami tidak mudah berputus asa dalam soal pesakit kami tanpa membuat penilaian dan diagnos yang teliti, “ katanya.

Dr Sivakumar memberi contoh seorang pesakit berusia 42 tahun yang menghidap kanser paru-paru tahap empat yang dirujuk kepada beliau. Pesakit itu pada awalnya dirawat oleh pakar bedah saraf kerana sering pening kepala dan kemudiannya didapati mempunyai tumor di dalam otak.

Imbas CT tomografi turut mengesan tumor di dalam paru-paru kanan pesakit itu.

Menurut Dr Sivakumar, pasukan pakar (MDT) terdiri daripada pakar bedah saraf, pakar sistem pernafasan dan pakar onkologi membuat keputusan rawatan paling baik untuk pesakit itu ialah membuang tumor di dalam paru-parunya dan diikuti dengan radioterapi untuk lesi “lesion” di dalam otak.

“Saya buang tumor di dalam paru-paru pada Jan 2017 dan pesakit itu masih sihat dan hidup bahagia dengan anak-anaknya. Ini menunjukkan meskipun sudah tahap empat, masih ada harapan untuk pesakit-pesakit kanser, “ beliau memberitahu Bernama dalam temuramah baru-baru ini.

 

PENDEKATAN PELBAGAI KEPAKARAN UMSC

UMSC berbangga dengan pendekatan MDT dalam merawat pesakit-pesakitnya. Untuk kanser paru-paru, pasukan berkenaan terdiri daripada pakar sistem pernafasan, pakar bedah kardiotoraks, pakar onkologi, pakar radiologi dan ahli patologi.

Pasukan berkenaan akan berjumpa setiap dua minggu sekali untuk membincangkan kes yang memerlukan perhatian dan mencari penyelesaian rawatan terbaik untuk pesakit berkenaan.


Pakar perunding pembedahan kardiotoraks Pusat Pakar UM (UMSC), Dr Sivakumar Krishnasamy. Foto: : Zulaikha Zainuzman

“Kami fikir tak adil untuk pesakit sekiranya hanya seorang doktor yang menguruskannya kerana pakar yang berbeza mungkin mempunyai pandangan serta pendekatan yang berlainan untuk penyakit itu.

"Kami berjumpa, berbincang dan kemudian memutuskan pilihan rawatan terbaik untuk pesakit. Kami kemudian mengemukakan pilihan ini kepada pesakit yang perlu membuat keputusan rawatan apa yang beliau mahukan, “ kata Dr Sivakumar. 

Sementara itu, pakar onkologi klinikal, Dr Adlinda Alip berkata sesetengah pesakit mungkin hanya perlu satu modaliti rawatan sementara yang lainnya mungkin memerlukan kombinasi modaliti seperti pembedahan, radioterapi, kemoterapi, imunoterapi dan terapi sasaran.

Sebagai hospital berasaskan universiti, UMSC turut menawarkan pilihan pelbagai ujian klinikal yang menyiasat rawatan baru yang mungkin boleh memberi manfaat kepada pesakit.   

Menjelaskan keadaan pesakit yang datang ke UMSC, pakar perunding sistem pernafasan, Dr Ernest Poh Mau Ern berkata pesakit dengan gejala batuk berterusan akan terus berjumpa dengan pakar sistem pernafasan.

Selepas pemeriksaan fizikal yang menyeluruh dan memeriksa sejarah pesakit,beliau akan dihantar untuk menjalani radiografi am dada. Sekiranya ada keluarbiasaan dikesan, pesakit mungkin perlu menjalami skan CT tomografi atau “positron emission tomography (PET)-CT scan”. 

Untuk mendapatkan diagnosis kanser paru-paru yang tepat, biopsi tisu akan dilakukan.

Prosedur ini boleh dilakukan menerusi “CT-guided percutaneous biopsy” di mana jarum biopsi akan dimasukkan untuk sampai kepada tumor (sekiranya ia terletak pada pinggir paru-paru) atau melalui “bronchoscopy” di mana skop akan dimasukkan menerusi hidung atau mulut ke saluran pernafasan untuk mendapatkan biopsi (jika tumor terletak di bahagian tengah).

Sampel biopsi akan diserahkan kepada ahli patologi untuk pemprosesan dan interpretasi. Sebaik sahaja diagnosis dan jenis kanser paru-paru disahkan, pesakit akan dikategorikan tahap kanser berdasarkan skan dan kes akan dibincangkan dalam mesyuarat MDT.

Dr Poh menekankan bahawa prosedur dijalankan secepat mungkin agar pilihan rawatan terbaik dapat ditawarkan kepada pesakit tanpa sebarang kelewatan yang tidak diingini.

 

STATISTIK KANSER PARU-PARU 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik media sebagai berkata tiga jenis kanser yang lazim di kalangan lelaki di Malaysia iaitu kolorektal (16.4 peratus), paru-paru (15.8 peratus) dan nasopharynx (8.1 peratus).

Manakala di kalangan wanita di negara ini, tiga jenis kanser yang sering dihidapi ialah kanser payudara (32.1 peratus), kolorektal (10.7 peratus) dan serviks (7.7 peratus). Kanser paru-paru adalah ke-5 paling biasa di kalangan wanita di Malaysia.

Pada 2014, data Daftar Kanser Kebangsaan menunjukkan lebih 4,000 kes kanser paru-paru dilaporkan setiap tahun.  

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang diterbitkan pada 2017, kematian akibat kanser paru-paru mencapai 4,644 di Malaysia atau 3.36 peratus daripada jumlah kematian.  

Menjelaskan bagaimana kanser membiak di dalam tubuh manusia, Dr Sivakumar berkata mesti ada perangsang atau kegagalan menyekat gen berkanser.

Perangsang berkenaan, katanya boleh datang dari persekitaran luar sementara kegagalan menyekat gen boleh berlaku secara dalaman atau berpunca daripada persekitaran luar.

Beliau mengesahkan 85 hingga 90 peratus pesakit yang menghidap kanser paru-paru adalah perokok satu ketika dalam kehidupan mereka atau terdedah kepada orang yang merokok.

“Banyak faktor dikaitkan dengan kanser paru-paru dan banyak kajian juga sedang dijalankan di seluruh dunia untuk menyiasat puncanya, “ tambah beliau.

 

FAKTOR RISIKO 

Ditanya sama genetik juga punca kanser paru-paru, beliau berkata risiko untuk anggota lain dalam keluarga pesakit mendapat penyakit itu memang ada. Seluruh ahli keluarga pesakit perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak memandang ringan jika ada gejala penyakit berkenaan.

“Apa yang lebih penting ialah peka dengan gejala dan ingat bahawa mereka berdepan dengan risiko. Itu sebabnya mengapa kami cuba mendidik orang ramai hakikat risiko mendapat penyakit kanser, “ kata Dr Sivakumar.

Data Daftar Kanser Kebangsaan dan UMSC juga menunjukkan kes kanser paru-paru paling tinggi bagi kaum Cina, diikuti Melayu, India dan kaum lain.

Menjelaskan tentang perkara ini, Dr Adlinda berkata bukan semua mutasi genetik berbentuk keturunan. Sebagai contoh, mutasi “epidermal growth factor receptor” (EGFR) berlaku secara sekali-sekala di kalangan pesakit Asia.

Ini bermakna sesiapa sahaja boleh menghidap kanser paru-paru, malahan dalam kalangan bukan perokok yang tidak mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit tersebut.

Menurut Dr Poh meskipun merokok pasti meningkatkan risiko mendapat kanser paru-paru, ada faktor lain yang boleh menyumbang kepada risiko itu.

Ini termasuk sejarah kanser keluarga, genetik dan terdedah kepada asap rokok dan asbestos.

Beliau menambah: “Kita perlu berhati-hati supaya tidak membuat andaian bahawa orang yang tidak merokok tidak berdepan berisiko mendapat kanser paru-paru.

"Faktor alam sekitar seperti pencemaran udara, dalaman dan luaran, memang menjadi kebimbangan dengan lebih banyak penyelidikan mengaitkannya dengan kanser paru-paru. Persoalan penting ialah bahan cemar yang mana mungkin menjadi punca dan tindakan yang perlu diambil untuk memperbaiki mutu udara dan kesihatan orang ramai.”

 

GEJALA DAN KESAN LEWAT

Dr Poh berkata gejala kanser paru-paru mungkin tidak ketara pada peringkat awal dan keadaan ini mungkin menjelaskan mengapa kebanyakan pesakit mendapatkan rawatan apabila penyakit tersebut sudah sampai kepada peringkat teruk.

Bagaimanapun, gejala seperti batuk berterusan, hilang selera makan, berat badan menurun tanpa dirancang, batuk mengeluarkan darah, sesak nafas, sakit belakang atau sendi, lemah anggota bahagian atas atau bawah badan, pening kepala dan gangguan penglihatan, tidak boleh dipandang ringan.

"Apabila anda mengalami gejala yang tidak sembuh, sebagai contoh, batuk yang berlarutan selama dua minggu walaupun sudah berjumpa doktor anda, anda perlu mendapat pandangan pakar. Berjumpa pakar secepat mungkin untuk penyakit pernafasan seperti kanser paru-paru mungkin memberi anda banyak manfaatnya, “ katanya.

Sementara itu, Dr Sivakumar berkata kanser paru-paru adalah kanser paling agresif dalam kalangan penyakit kanser di mana “ia merebak setiap hari” dan kebanyakan kes di Malaysia dirawat pada peringkat yang sudah teruk.

Dr Adlinda berkata sekiranya kanser paru-paru dikesan pada peringkat awal, peluang untuk  pesakit yang dirawat “terselamat daripada penyakit itu” adalah lebih baik.

“Sekiranya mereka datang lewat untuk mendapatkan rawatan, rawatan yang diberikan adalah lebih kepada usaha pesakit dapat bertahan lebih lama dengan mutu kehidupan yang lebih baik, “ tambahnya.

 

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

RUANGAN SISI 

Kanser yang bermula dalam paru-paru dipanggil kanser paru-paru primer. Ia dikenali sebagai kanser paru-paru sekunder apabila ia merebak kepada paru-paru daripada bahagian badan yang lain.

Jenis kanser paru-paru primer:

‘Non-small-cell lung cancer’ – paling biasa dan lebih 80 peratus kes kanser paru-paru adalah jenis ini. Ia mungkin ‘squamous cell carcinoma, adenocarcinoma atau large-cell carcinoma’.

‘Small-cell lung cancer’ – jenis yang kurang biasa dan lazimnya merebak lebih pantas daripada ‘non-small-cell lung cancer’ (NHS, UK)

Kanser paru-paru, trakea dan bronkus adalah kanser kedua paling biasa dalam kalangan orang lelaki dan kelima dalam kalangan orang perempuan. Kes penyakit ini lebih tinggi dalam kalangan orang lelaki dan mula meningkat pada usia 60 tahun (Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011).

Risiko seumur hidup: Satu dalam 55 untuk semua lelaki; satu dalam 62 untuk lelaki Melayu; satu dalam 43 untuk lelaki Cina; satu dalam 103 untuk lelaki India; satu dalam 135 untuk semua orang perempuan (Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011).

Peratus yangt amat tinggi untuk kanser paru-paru, trakea dan bronkus dikesan pada tahap akhir (tahap 3 dan 4) untuk orang lelaki dan orang perempuan (89 peratus untuk lelaki dan 91 peratus untuk perempuan) (Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011).

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2