Tiada keperluan isytihar darurat bencana - PM



JOHOR BAHRU, 14 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di Pasir Gudang memandangkan situasi pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak untuk terus berhati-hati memandangkan situasi pencemaran masih belum berakhir.

“Tidak...belum sampai tahap itu (darurat). Kita tidak perlu isytihar darurat, tidak perlu pemindahan, tetapi kita perlu berhati-hati.

“(Dan) mereka yang ditugaskan untuk mengawal keadaan ini mesti bersedia menangani masalah (kesan pencemaran) yang berlaku,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat mangsa-mangsa pencemaran di Hospital Sultan Ismail, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana dan keperluan untuk memindahkan penduduk dari kawasan zon bencana ekoran pencemaran berkenaan.

Ketika ditanya sama ada yang terburuk berakhir berdasarkan bilangan mangsa akibat kesan pembuangan kimia secara haram Khamis lepas, Dr Mahathir berkata: "Kita tidak boleh mengatakan yang terburuk sudah berakhir."

Sebaliknya, kita tidak fikir ia akan menjadi lebih serius daripada sekarang. Tetapi yang penting ialah mereka tahu bagaimana menangani masalah ini," katanya.

Dr Mahathir turut memuji kecekapan dan kepakaran agensi-agensi di bawah Jawatankuasa  Pengurusan Bencana Negeri terutamanya petugas perubatan dan keselamatan kerana berjaya menangani dan mengawal impak pencemaran dari menjadi lebih teruk.

“Saya dapati dalam taklimat yang diberi dari  pelbagai pihak bahawa mereka telah menjalankan tugas dengan sempurna walaupun kes seperti ini tidak pernah berlaku tetapi nampak dari segi bomba, polis, hospital sekolah dan lain lain, mereka telah menangani masalah ini dengan cekap dan berhasil,” kata beliau. 

Beliau turut menyifatkan kecekapan doktor dan petugas perubatan “luar biasa” kerana sedar dan tahu bagaimana menangani “gas beracun” seperti ini. 

“Saya yakin akan kebolehan kita untuk memulihkan mereka (mangsa) dari gas yang beracun.

“Masyarakat juga mesti menganggap ini (pencemaran) sebagai satu perkara yang serius tapi perlu ingat kebolehan mereka (petugas) yang bertugas berjaya menyelamatkan mangsa baik, berhasil...itu sebab keadaan terkawal,” kata Dr Mahathir.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Terdahulu, keduanya mendengar taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Taklimat yang berlangsung lebih sejam, turut dihadiri Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018