Tinjauan dari udara memperlihatkan keadaan Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang.
Oleh Nor Baizura Basri
PONTIAN, 18 Mac (Bernama) -- Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim sehingga menyebabkan pencemaran dan menjejaskan kesihatan orang ramai, sepatutnya ‘membuka mata’ bukan sahaja kepada pihak berkuasa dan pemain industri tetapi juga masyarakat secara amnya.
Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Malaysia Dr Shazmin Shareena Ab Azis berkata dalam insiden itu, pelupusan sisa kimia oleh pihak terlibat tidak diuruskan dengan cara yang betul, menyebabkan orang ramai menjadi mangsa akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
“Kes pencemaran yang berlaku di Sungai Kim Kim adalah satu ‘wake up call’ (membuka mata) kepada masyarakat bahawa sesungguhnya pembuangan sisa kimia yang tidak terurus dengan baik akan memberi impak yang sangat buruk, sehingga akan membahayakan nyawa manusia itu sendiri,” kata beliau ketika ditemui Bernama di Pulau Kukup, dekat sini.
Beliau yang mengajar subjek Pengajaran Alam Sekitar di Fakulti Alam Bina dan Ukur di universiti itu berkata masyarakat juga perlu mempunyai kesedaran dan mengambil tahu bagaimana cara pembuangan sisa kimia yang betul supaya tidak membahayakan diri sendiri.
Shazmin berkata pihak industri khususnya perlu tahu sebelum pelupusan sisa kimia ke tapak pelupusan yang dibenarkan, mereka perlu menstabilkan dulu bahan kimia itu supaya apabila dibuang di tapak berkenaan, bahan kimia berkenaan tidak akan memberi reaksi buruk kepada alam sekitar dan manusia.
“Masalah di Sungai Kim Kim ini, pengusaha membuat penyimpanan sisa-sisa kimia tetapi tidak membawanya ke tapak pelupusan yang betul, itu sebab dia buang sahaja ke dalam sungai, itu lebih senang,” katanya.
Sementara itu, Shazmin bersetuju supaya kerajaan mengkaji semula undang-undang berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sudah berusia hampir 50 tahun itu.
“Saya setuju dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengkaji semula undang-undang di bawah akta berkenaan. Kita boleh kaji semula dan masukkan terma-terma yang lebih sesuai seperti kesan kepada manusia dan haiwan,” kata beliau, yang menambah, akta berkenaan sebelum ini hanya menyentuh kesan alam sekitar sahaja.
Baru-baru ini, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan mengkaji semula keberkesanan undang-undang berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ekoran dari pencemaran serius, akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, 12 hari lepas.
Cadangan untuk mengkaji semula akta berkenaan, berikutan terdapat desakan rakyat yang mahu melihat hukuman lebih berat dijatuhkan kepada pesalah, memandangkan hukuman yang ada dilihat tidak berat dan pesalah mampu membayar denda yang dikenakan.
“Kita ambil perhatian mengenai perkara itu, selalu kita berdepan dengan racun air atau solid (tetapi) ini gas yang kita tak pernah tangani. Kita akan mengkaji sama ada (akta itu) perlu diperkuat atau tidak,” kata Dr Mahathir, empat hari lepas.
Sebelum ini, tiga suspek yang ditahan Jabatan Alam Sekitar disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000.
Kejadian pencemaran yang berlaku pada 7 Mac, bukan sahaja menyebabkan ramai pelajar sekolah dan orang awam terjejas kesihatan tetapi menyebabkan 111 sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup berikutan langkah berhati-hati ekoran pencemaran berkenaan.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN