Kes demam denggi di Melaka meningkat 248 peratus



MELAKA, 19 Mac (Bernama) -- Kes demam denggi di negeri Melaka meningkat sebanyak 248 peratus kepada 463 kes dalam tempoh 1 Jan hingga semalam berbanding tempoh sama pada tahun lepas, kata Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Low Chee Leong.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 358 kes direkodkan berlaku di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (56 kes) dan Jasin (49 kes) manakala tiga kematian direkodkan iaitu dua kes di Melaka Tengah dan Alor Gajah (satu kes).

"Berdasarkan rekod, dalam tempoh Januari hingga semalam, kes demam denggi di ketiga-tiga daerah di negeri ini mencatatkan peningkatkan iaitu Melaka Tengah sebanyak 293 peratus, Alor Gajah (115 peratus) dan Jasin (206 peratus) berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Kes kematian terbaharu dilaporkan berlaku di Bandar Hilir di sini pada 14 Mac lepas dan kita memandang serius perkara ini kerana pelbagai pendekatan dan program telah dilakukan dalam usaha mengekang pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata sembilan lokaliti wabak aktif dikesan di negeri itu iaitu Kampung Bukit Palah, Taman Tasik Utama D dan C, Taman Sri Pelangi, Kampung Bukit Pulau, Taman Maju Fasa 4 dan 5, Taman Ayer Keroh Height dan rumah pangsa Bandar Hilir.

Katanya masyarakat atau penduduk setempat digesa mengubah sikap mereka dan memainkan peranan penting dalam usaha memastikan persekitaran mereka sentiasa bersih dan tempat pembiakan nyamuk Aedes dihapuskan.

Low berkata program gotong-royong yang dilaksanakan di peringkat negeri dan kawasan terutama di taman perumahan yang kenal pasti sebagai lokaliti wabak denggi merupakan satu usaha atau program berskala besar yang sepatutnya mampu membendung wabak demam denggi dan peningkatan kes.

"Sepatutnya sekiranya semua masyarat komited dan konsisten memastikan kebersihan awam berada pada tahap yang baik, kes demam denggi dapat ditangani sebaiknya dan kematian akibat wabak itu dapat dielakkan," katanya.

​​​Beliau berkata dalam usaha itu, Jabatan Kesihatan negeri sedang memohon peruntukan daripada Kementerian Kesihatan untuk membeli dron untuk kegunaan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah dan Jasin bagi memantau pembiakan jentik-jentik di kawasan perumahan terutama di tempat tinggi seperti yang digunakan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah pada masa ini.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2