Penularan kes tibi di Malaysia menurun



KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Trend penularan penyakit tuberkulosis atau tibi di Malaysia menunjukkan penurunan sebanyak 1.3 peratus atau 25,837 kes pada tahun 2018 berbanding 26,168 kes pada tahun 2017.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hari ini  Selangor merekodkan kes tibi tertinggi dengan 5,071 kes dan diikuti Sabah iaitu 5,008 kes bagi tahun 2018. 

"Kadar kematian tibi pada tahun 2018 adalah 6.6 setiap 100,000 penduduk dan telah meningkat berbanding 6.5 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2017. Untuk kes kematian, Sabah mencatat jumlah tertinggi iaitu 376 kes kematian dan diikuti Selangor 375 kes bagi tahun 2018. 

"Sehubungan itu, adalah penting pesakit mendapatkan rawatan awal bagi mengelak komplikasi dan kematian akibat penyakit tibi dan pada masa yang sama bagi mencegah penularan kepada orang lain," katanya dalam kenyataan. 

Sempena Hari Tibi Sedunia yang disambut pada 24 Mac setiap tahun sebagai tanda mengingati penemuan bakteria Tibi pertama oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882, Dr Noor Hisham berharap anggapan salah masyarakat terhadap penyakit ini dapat diperbetulkan.  

Dr Noor Hisham berkata sejajar dengan tema bagi sambutan Hari Tibi pada tahun 2019 iaitu “Inilah Masanya: Kesan, Rawat dan Pastikan Sembuh Tibi”, individu yang mempunyai tanda-tanda penyakit tibi perlu segera ke klinik kesihatan bagi melakukan ujian saringan tibi.

"Antara simptom utama tibi ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah. Bagaimanapun, terdapat segelintir masyarakat beranggapan bahawa batuk tersebut adalah ‘batuk biasa’ yang akan ‘sembuh’ dengan mengambil ubatan antibiotik selama satu minggu sahaja.

"Anggapan salah seperti inilah menjadikan penyakit tibi masih merebak di udara dan boleh menjangkiti individu yang lain. Hakikatnya ubat-ubatan tibi perlu diambil setiap hari sekurang-kurangnya selama enam bulan," ujarnya. 

Justeru, hebahan mengenai penyakit tibi akan diteruskan agar maklumat mengenai penyakit ini dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat di samping stigma dan salah faham berkaitan penyakit tibi perlu diperbetulkan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 10 juta kes tibi baharu di seluruh dunia bagi tahun 2017 dan 1.3 juta kematian yang disebabkan oleh penyakit itu. 

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2