Oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Mustaffa Embong, Pakar Perubatan Diabetologi, Institut Diabetes Negara (NADI)
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Rahmah, 30, menjalani pemeriksaan selepas haid bulanannya tidak datang. Beliau disahkan hamil. Bagaimanapun, ujian darah menunjukkan beliau menghidapi diabetes.
Ini adalah kehamilan ketiga bagi Rahmah. Bagi kehamilan pertama, beliau keguguran selepas enam minggu mengandung manakala anak kedua lahir pada minggu ke-36 melalui pembedahan caesar. Berat bayi adalah 4.3 kilogram semasa lahir dan mengalami kesukaran bernafas tidak lama selepas dilahirkan menyebabkan dia terpaksa ditempatkan dalam inkubator selama dua minggu.
Rahmah mempunyai lebihan berat badan sejak kecil lagi. Kini indeks jisim tubuhnya (BMI) adalah 32.4 kg/m2 dan terdapat tompok-tompok berwarna hitam di leher dan abdomennya. Ibu dan kakaknya juga menghidap diabetes.
DIABETES SEMASA HAMIL
Diabetes gestasi adalah keadaan diabetes yang dikesan semasa mengandung. Mungkin wanita mengandung berkenaan mempunyai diabetes jenis 2 (T2DM) yang hanya didiagnos semasa hamil atau beliau menghidap diabetes jenis 1, yang dicetuskan oleh tekanan kehamilan. Tetapi, kemungkinan besar individu itu sudah berisiko menghidap diabetes sebelum hamil (‘pradiabetes’) dan kehamilannya menyebabkan beliau mengalami diabetes terjelas - suatu keadaan yang disebut sebagai diabetes gestasi (sebenar).
RISIKO DIABETES GESTASI
Rahmah mempunyai banyak ciri-ciri yang menunjukkan beliau mungkin mengalami diabetes semasa mengandung. Dia obes dan mempunyai tompok–tompok hitam di leher dan abdomen (‘akantos nigrikan’) yang diketahui ada kaitan dengan rintangan insulin dan T2DM. Beliau mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga. Sejarah kehamilannya juga mencadangkan beliau terdedah menghidap diabetes: kehamilan pertamanya berlaku keguguran dan seorang anaknya pula dilahirkan sebelum cukup bulan tetapi mempunyai berat yang lebih berbanding kelahiran normal.
Ciri-ciri lain yang berkaitan dengan peningkatan risiko diabetes gestasi termasuklah berusia lebih 30 tahun, mempunyai tekanan darah tinggi atau tahap lipid darah tidak normal dan kekurangan aktiviti fizikal (lihat Jadual 1).
Jadual 1: Anda lebih cenderung menghidap diabetes gestasi jika:
*mempunyai berat badan berlebihan atau obes * mempunyai saudara terdekat ( misalnya, ibu bapa, kakak) yang menghidap diabetes *telah melahirkan bayi yang besar (seberat 4.0 kg atau lebih) *telah menghidapi diabetes semasa mengandung sebelum ini *mempunyai tekanan darah tinggi atau paras kolesterol darah tinggi *tidak aktif secara fizikal atau jarang senaman *berumur 30 tahun atau lebih *mempunyai sindrom ovari polikistik *mempunyai prediabetes |
KESAN DIABETES KEPADA KEHAMILAN
Oleh kerana perubahan hormon berlaku semasa kehamilan, kadar glukosa darah wanita yang menghidap diabetes semasa mengandung mungkin meningkat dan boleh menjadi sukar untuk dikawal. Tahap glukosa darah yang tidak terkawal meningkatkan risiko komplikasi kepada kedua-dua ibu dan bayi.
RISIKO KOMPLIKASI KEPADA IBU DAN BAYI
Wanita yang menghidap diabetes mungkin mengalami kesukaran untuk mengandung dan apabila hamil, lebih terdedah kepada keguguran dan kelahiran pramatang. Mereka juga mungkin mengalami tekanan darah tinggi atau mempunyai sedikit atau terlalu banyak air dalam rahim. Wanita-wanita ini lebih cenderung untuk terkena sawan akibat eklampsia yang mungkin mengancam nyawa. Memandangkan bayi mungkin lebih besar daripada biasa, seorang wanita yang menghidap diabetes (yang kurang kawalan) akan mengalami kesukaran semasa bersalin dan lebih berkemungkinan mengalami pembedahan caesar (lihat Kotak).
Bayi kepada ibu yang menghidap diabetes (yang tidak terkawal) sebelum atau pada awal kehamilan, berisiko tinggi mengalami keabnormalan kongenital seperti kecacatan jantung, lelangit cakram atau lebih serius, kecacatan tiub saraf. Mereka juga mungkin mengalami keadaan yang disebut sebagai retardasi pertumbuhan intrauterin (IGR) yang mengakibatkan pertumbuhan dalam rahim terbantut.
Tahap glukosa darah tinggi pada ibu juga boleh menyebabkan peningkatan berat badan yang berlebihan pada bayi ("makrosomia"),yang boleh mengakibatkan kecederaan semasa lahir. Bayi ibu yang menghidap diabetes memerlukan pemerhatian yang rapi selepas lahir kerana mereka lebih mudah mengalami komplikasi seperti tahap glukosa darah rendah (hipoglikemia), kesukaran bernafas atau jaundis yang teruk.
Penyelidik juga mengesahkan bahawa bayi ibu yang menghidap diabetes semasa hamil adalah lebih cenderung untuk menghidap diabetes (dan obesiti dan penyakit jantung) semasa dewasa berbanding kanak-kanak yang ibu mereka tidak mempunyai diabetes (lihat Kotak).
Diabetes yang kurang terkawal meningkatkan risiko komplikasi kepada ibu dan bayi:
Ibu Keguguran Bersalin pra-matang Air dalam rahim terlalu banyak atau terlalu sikit Tekanan darah tinggi Sawan Sukar bersalin Bersalin melalui pembedahan caesar |
Bayi Kecacatan kongenital Pertumbuhan dalam rahim terbantut Saiz besar semasa lahir Kecederaan semasa lahir Jaundis yang teruk Masalah pernafasan Glukosa darah rendah selepas lahir Cenderung terkena diabetes, obesiti, penyakit jantung semasa dewasa |
KEHAMILAN SELAMAT
Kajian menunjukkan bahawa dengan penjagaan yang sempurna semasa (dan sama pentingnya, sebelum) mengandung, seseorang yang menghidap diabetes boleh mengurangkan risiko dan menjalani kehamilan dengan selamat, untuk kedua-dua ibu dan bayi.
Komplikasi diabetes yang melibatkan saraf, mata, buah pinggang dan jantung, cenderung berlaku pada mereka yang telah lama menghidap diabetes terutama jika penyakit itu tidak diurus dengan baik. Seseorang wanita yang menghidap diabetes perlu memastikan dia tidak mempunyai komplikasi yang akan menjejaskan kehamilannya. Mengikut amalan, wanita yang mempunyai komplikasi serius seperti retinopati diabetes (penyakit mata), penyakit buah pinggang atau jantung yang teruk tidak digalakkan untuk hamil.
Sebaik sahaja anda disahkan boleh mengandung, anda kini perlu mengambil langkah positif untuk memastikan kehamilan itu selamat, tanpa komplikasi sehinggalah anda melahiri bayi yang sihat. Keutamaan anda adalah untuk memastikan diabetes anda dan keadaan - keadaan lain yang berkaitan (seperti tekanan darah tinggi dan berat badan berlebihan/obesiti) dikendalikan dengan baik bukan sahaja semasa mengandung tetapi juga sebelum anda hamil.
MENGOPTIMUM KAWALAN DIABETES
Tahap glukosa darah tinggi pada awal kehamilan meletakkan bayi kepada risiko kecacatan kelahiran yang tinggi. Organ-organ bayi berkembang dalam 7 hingga 8 minggu pertama kehamilan - semasa anda mungkin masih tidak menyedari bahawa anda telah mengandung. Itulah sebabnya anda perlu memastikan kawalan gula (glukosa) darah anda dioptimumkan sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum anda cuba untuk hamil. Tekadkan untuk mencapai HbA1c (satu ukuran tahap glukosa darah dalam tempoh 3 bulan lepas) paling terdekat dengan normal. Bincanglah dengan doktor mengenai tahap HbA1c yang paling sesuai untuk anda. Untuk mencapai matlamat ini, anda mungkin perlu memeriksa tahap glukosa darah secara lebih kerap (sebaik-baiknya 6 hingga 7 kali setiap hari semasa mengandung) di rumah.
Semasa mengandung, adalah disarankan supaya anda mengekalkan kadar glukosa darah antara 3.5 hingga 5.5 mmol/L sebelum makan, pada waktu tidur dan pada waktu bangun pagi dan kurang daripada 6.5 mmol/L 2 jam selepas hidangan utama (lihat Kotak). Rekodkan bacaan ini untuk dibincang dengan doktor semasa lawatan berjadual anda.
Saranan glukosa darah dan tahap HbA1c semasa mengandung
Ujian |
Tahap yang disyorkan |
Puasa/sebelum makan/pada waktu tidur |
3.5 hingga 5.5 mmol/L |
1 jam selepas makan |
Kurang daripada 7.8 mmol/L |
2 jam selepas makan |
Kurang daripada 6.5 mmol/L |
HbA1c |
Kurang daripada 6.5% (atau kurang daripada 6.0%) |
Pastikan anda maklumkan kepada doktor jika glukosa darah tidak terkawal (hipo- atau hiperglikemia ) atau semasa anda berasa tidak sihat.
MENUKAR KEPADA INSULIN
Sesetengah wanita, terutamanya mereka yang menghidap diabetes semasa hamil (diabetes gestasi ‘sebenar’), boleh mengendalikan diabetes dengan baik hanya melalui diet (yang teratur) dan senaman berkala. Jika ini tidak mungkin, doktor akan menasihatkan anda supaya mengambil insulin bagi tempoh kehamilan untuk memastikan diabetes terkawal dengan baik. Kajian menunjukkan bahawa kawalan glukosa darah yang ketat semasa mengandung (dan sebelumnya) ada dikaitkan dengan pengurangan risiko secara ketara bagi ibu dan bayi.
Kebanyakan jenis insulin adalah selamat untuk digunakan semasa mengandung. Sebaiknya, anda perlu mengambil suntikan insulin bertindak cepat sebelum setiap hidangan utama dan satu tambahan insulin bertindak lebih lama sebelum tidur, jika perlu.
Ramai yang ingin berunding dengan doktor mereka untuk dibenar meneruskan tablet anti-diabetik. Bagaimanapun, secara umumnya, ini tidak disyorkan kerana kemungkinan berisiko kepada bayi terutamanya tablet anti-diabetik yang baru.
MENGAWAL KEADAAN BERKAITAN
Banyak keadaan lain yang biasanya terdapat pada orang yang menghidap diabetes. Ini termasuk hipertensi (tekanan darah tinggi), lipid darah yang tidak normal (dislipidemia) dan berat badan berlebihan atau obes yang akan menjejaskan anda dan bayi semasa mengandung.
Doktor mungkin menukar ubat-ubatan anda kerana sesetengah ubat untuk tekanan darah tinggi dan kolesterol darah tinggi, misalnya, adalah tidak selamat semasa mengandung. Ubatan untuk rawatan menurun berat badan tidak boleh digunakan semasa mengandung (atau semasa cuba hamil) kerana ini boleh menyebabkan kecacatan kelahiran.
Doktor juga akan memberi asid folik bermula 3 bulan sebelum kehamilan sehinggalah sekurang-kurangnya 12 minggu mengandung, untuk mencegah kecacatan kelahiran seperti spina bifida pada anak anda.
Projek DEWI Projek DEWI (Inisiatif Diabetes bagi Wanita) adalah projek kesihatan komuniti yang dianjurkan oleh Institut Diabetes Negara (NADI) dan disokong sepenuhnya serta dijalankan bersama-sama dengan para pakar di Kementerian Kesihatan dan hospital-hospital universiti. Projek ini bertujuan untuk memperkasakan wanita yang menghidap diabetes atau yang berisiko untuk terkena diabetes semasa mengandung (diabetes gestasi) agar dapat hamil dengan selamat bagi ibu dan bayi. Datanglah sertai Projek DEWI untuk memastikan kehamilan anda selamat dengan bayi yang sihat, walaupun ada diabetes. Penyertaan adalah PERCUMA. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Institut Diabetes Negara (NADI): Tel. 03-7876 1676/7876 1677 Emel: Enquiry@nadidiabetes.com.my |
TERUSKAN GAYA HIDUP SIHAT
Memastikan gaya hidup sihat adalah penting, terutamanya semasa anda mengandung. Ini termasuklah memberi perhatian terhadap diet anda, aktif secara fizikal dan melakukan eksersais. Adalah dinasihatkan agar anda tidak merokok. Anda juga harus mengelakkan dari mengambil alkohol dan mengurangkan pengambilan kafein:
Diet sihat
Buatlah satu penetapan untuk berbincang dengan ahli diet anda tentang pelan pemakanan yang baik, yang sesuai bukan sahaja dengan citarasa anda tetapi juga suatu yang boleh membantu anda mengelak perubahan ketara tahap glukosa darah anda sambil menyediakan nutrien yang diperlukan untuk bayi anda membesar. Kekalkan diet yang sihat dan seimbang anda dengan jumlah protein dan lemak, serat, vitamin dan mineral yang mencukupi, (terutamanya asid folik, vitamin B12 dan zat besi), dan karbohidrat (dalam bahagian yang lebih rendah).
Aktif secara fizikal
Memastikan aktif secara fizikal, termasuklah melakukan eksersais berkala dapat membantu anda menurunkan kadar glukosa darah ke julat sasaran. Ia juga akan mengurangkan tekanan darah dan paras kolesterol dan melegakan stres. Eksersais meningkatkan nada otot, menguatkan paru-paru, jantung, tulang, dan sendi dan meningkatkan stamina anda yang akan membantu anda semasa bersalin.
Semak dengan doktor apakah aktiviti paling sesuai untuk anda, dengan mengambil kira tahap kesihatan dan peringkat kehamilan anda secara keseluruhannya. Secara umum, berjalan kaki, berenang, yoga, regangan dan aerobik berimpak rendah adalah selamat tetapi elakkan aktiviti yang boleh menyebabkan terjatuh atau menimbulkan ketegangan pada perut anda. Lakukan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal (rendah hingga sederhana) setiap hari untuk kebanyakan hari dalam seminggu. Henti serta-merta jika anda merasa sakit atau pening-pening, mengalami sesak nafas atau pendarahan.
Berhenti merokok, elak alkohol
Merokok dan minum alkohol adalah tidak baik untuk wanita yang mengandung - atau mereka yang merancang untuk hamil - lebih lagi jika mereka menghidap diabetes (atau pradiabetes). Amalan gaya hidup (tidak sihat) kedua-dua ini diketahui boleh menyebabkan komplikasi serius termasuklah keguguran, lahir-mati, kelahiran pra-matang dan berat badan lahir rendah.
Patuhi lawatan berjadual, janji temu
Sebagai penghidap diabetes, anda mungkin perlu dijaga lebih rapi semasa anda mengandung terutama jika anda mempunyai komplikasi (ringan) yang mungkin menjadi lebih teruk.
Doktor anda akan menyemak dan menyesuaikan rawatan jika perlu untuk memastikan diabetes dan parameter-parameter lain (seperti tekanan darah tinggi dan peningkatan berat badan) berada dalam keadaan terkawal. Beliau juga akan menilai pembesaran bayi anda dengan pemeriksaan ultrasound, jika perlu.
Ambillah peluang semasa lawatan klinik ini untuk bertanya jika anda ragu-ragu tentang cara terbaik untuk mengurus diabetes anda, supaya anda dapat mengandung dengan selamat dan melahirkan bayi yang sihat.
KESIMPULAN
Adalah penting untuk diketahui bahawa kebanyakan wanita yang menghidap diabetes boleh mengandung dengan selamat. Tetapi, terdapat beberapa ‘pengorbanan’ yang harus dilakukan oleh wanita yang menghidap diabetes untuk memastikan kehamilan selamat bagi ibu dan bayi. Pemantauan rapi dan pematuhan ketat terhadap pemakanan, senaman dan ubat-ubatan adalah penting.
Walaupun diabetes gestasi mungkin hilang selepas mengandung, amalan gaya hidup sihat dan pemeriksaan berkala (untuk diabetes dan keadaan lain) perlu diteruskan selepas bersalin bagi ibu (dan anak) untuk mengurangkan risiko masalah pada masa depan.
Dengan adanya komitmen dan tekad (serta bimbingan pasukan penjagaan kesihatan), anda pasti dapat menjalani kehamilan dengan selamat - walaupun menghidap diabetes, Insya-Allah.
Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin
BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN