NCD punca utama jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat ditingkatkan



KUALA SELANGOR, 31 Mac (Bernama) -- Penyakit tidak berjangkit (NCD) dikesan antara menjadi penyebab utama purata jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat ditingkatkan, hanya mencapai sekitar usia 75 tahun, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata ini kerana kesedaran masyarakat di Malaysia terhadap NCD serta komplikasinya dilihat masih rendah berbanding rakyat negara lain yang sentiasa berusaha memanjangkan jangka hayat mereka.

Mengambil contoh darah tinggi serta diabetes daripada kelompok penyakit NCD, Dr Dzulkefly memberitahu 50 peratus daripada pesakit yang dirawat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyedari yang mereka menghidapi penyakit berkenaan dan perkara itu dilihat amat membimbangkan.

"Hari ini, (jangka hayat) rakyat kita sudah 'tersekat' untuk satu dekad berbanding negara lain iaitu pada purata umur 75 tahun yang mana individu lelaki biasanya mencapai usia sehingga 73 tahun manakala wanita 78 tahun.

"Sebab utama ini berlaku akibat NCD terutama penyakit darah tinggi yang membawa komplikasi serangan jantung; diabetes akan berakhir dengan kegagalan buah pinggang; penyakit berkaitan kolestrol dan pelbagai lagi. Punca kedua (yang memendekkan jangka hayat) baru kanser," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Kuala Selangor di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini hari ini.

Katanya, antara punca ramai rakyat masih kurang tertarik untuk menjalani ujian saringan kesihatan adalah disebabkan tahap kesedaran yang rendah, tidak berpeluang untuk berbuat demikian selain tidak mahu melakukannya.

Memberi contoh Singapura, Dr Dzulkefly berkata negara berkenaan amat serius dalam menangani penyakit NCD sehingga melancarkan 'perang' ke atas diabetes yang mana setiap rakyatnya diwajibkan menjalani ujian saringan kesihatan.

Walaupun Malaysia belum sampai ke tahap itu, beliau berkata KKM sentiasa memberi khidmat terbaik malah menasihati rakyat supaya sentiasa peka dengan kesihatan masing-masing seperti kempen KKM yang menganjurkan setiap ibu bapa harus bertanggungjawab terhadap kesihatan seluruh anggota keluarganya.

"KKM boleh anjurkan pelbagai program tetapi jika rakyat tetap tak mahu terlibat malah tak mahu juga mengikuti rawatan susulan di fasiliti kita, buat apa? Kita sudah buat yang terbaik (memberi khidmat kesihatan sewajarnya kepada seluruh rakyat).

"Saya mahu mengingatkan (kepada semua rakyat), kita mungkin lihat penyakit diabetes sebagai biasa tapi komplikasinya seperti perlu melalui proses dialisis, strok mahupun amputasi anggota badan, ia pasti akan mengganggu kualiti hidup. 

"Bayangkan, kos dialisis seorang pesakit buah pinggang di fasiliti KKM menelan belanja sehingga RM44,000. Komplikasi seperti ini menyebabkan kewangan keluarga terbeban. Kita tak mahu ini berlaku. Kita mahu produktiviti warganegara (berada pada paras) tinggi," katanya.

Disebabkan itu kata Dr Dzulkefly, program Skim Peduli Sihat (PeKa B40) selain program tambahan iaitu Kampungku Sihat, diharapkan dapat mencegah peningkatan jumlah pesakit NCD selain bertujuan mengumpul data kesihatan rakyat dengan cara menyantuni mereka melalui beberapa ujian saringan.

Katanya, data berkenaan amat penting untuk memastikan pihaknya mengesan penyakit berkaitan NCD dalam kalangan rakyat selain memberikan perkhidmatan kesihatan sewajarnya khususnya bagi golongan B40.

Ditanya sama ada program Kampungku Sihat akan diperluaskan ke seluruh negara, Dr Dzulkefly berkata ia mungkin boleh dilakukan mengikut keupayaan KKM dengan memberi tumpuan khusus kepada kampung-kampung yang dilihat tercicir daripada khidmat kesihatan asas.

Pada program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Kuala Selangor, 550 pelatih daripada dua Institut Latihan KKM menjalankan beberapa ujian saringan kesihatan asas ke atas penduduk di tiga kampung bagi kawasan Jeram meliputi pemeriksaan tekanan darah, bacaan aras gula dalam darah dan pengiraan indeks jisim tubuh (BMI) sebagai simbolik kepada perasmiannya. 

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2