Kawalan denggi: pelepasan nyamuk berbakteria Wolbachia bermula Julai - Wan Azizah



KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan operasi melepaskan nyamuk yang mengandungi bakteria Wolbachia di 10 lokaliti bermula Julai ini dalam usaha memperkukuh aktiviti kawalan denggi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan membuat keputusan itu susulan kejayaan program perintis di lima lokaliti yang dijalankan sejak 2017, melibatkan hampir empat juta nyamuk berbakteria Wolbachia dilepaskan.

“Nyamuk berWolbachia adalah satu inovasi dalam menangani peningkatan kes denggi. Bakteria Wolbachia disuntik ke dalam telur nyamuk Aedes aegypti.

“Nyamuk berWolbachia ini akan merencatkan pertumbuhan virus denggi di dalam nyamuk dan seterusnya menghalang penyebaran virus denggi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata menerusi kaedah itu, jawatankuasa menyasarkan penurunan 60 hingga 70 peratus kes denggi di lokaliti pelepasan dan seterusnya dapat mengurangkan kadar kematian akibat denggi.

Dr Wan Azizah berkata mesyuarat jawatankuasa berkenaan juga bersetuju untuk mengkaji penggunaan teknologi kecerdasan buatan  dalam meramal lokaliti wabak denggi berdasarkan analisis pemboleh ubah seperti kelajuan angin, taburan hujan dan lain-lain.

“Sudah tiba masanya untuk kita meramal (lokaliti wabak) bagi menghalang penularan dan bukan hanya sekadar bertindak balas untuk mengawal wabak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata  Kementerian Kesihatan merekodkan 36,285 kes denggi dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Mac lepas, berbanding 14,734 kes bagi tempoh sama pada 2018.

Bagi kematian akibat denggi pula, beliau berkata  sebanyak 59 kematian  dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 32 kes untuk tempoh sama pada 2018, iaitu peningkatan 84.4 peratus atau tambahan 27 kematian.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2