Golongan austisme perlu lebih diterima secara terbuka - Hannah Yeoh 



KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Sasaran untuk mencapai satu peratus penjawat awam golongan orang kurang upaya (OKU) terutama austime hanya dapat dicapai jika semua pihak mula menerima golongan ini secara terbuka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata untuk itu fokus intervensi utama kini adalah mengenai peluang golongan autisme selepas persekolahan.

"Kita perlu bergerak dari fasa kesedaran ke penerimaan bagi memastikan golongan ini mendapat tempat dalam masyarakat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2019 di Sunway Putra Mall hari ini.  

Turut hadir Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Feilina Feisol. 

Hannah berkata pihaknya sedang berbincang dengan beberapa kementerian lain untuk menyediakan lebih banyak fasiliti dan peluang terutama daripada aspek latihan kepada golongan autisme serta OKU.

"Setakat ini, kita sudah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.  

Beliau berkata, kerjasama melibatkan pelbagai aspek dan kepakaran ini mampu memberi peluang kepada 21,000 penghidap autisme berdaftar di negara ini.  

"Jadi kita harap dengan kerjasama bersama Kementerian Sumber Manusia nanti akan memudahkan padanan kerjaya dilakukan manakala Zero Reject Policy oleh KPM menjadi platform meningkatkan kesamaratan dalam pembelajaran golongan itu dalam aliran perdana," katanya. 

Pada majlis itu juga,  Hannah turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Perjanjian itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UiTM, Profesor Dr Mohamad Kamal Harun dan Feilina. 

Menurut Kamal, perjanjian itu adalah bagi penubuhan National Autism Resource Centre (NRAC) yang bernaung di bawah Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM. 

"NRAC bakal berfungsi sebagai pusat setempat sumber maklumat dan rujukan untuk penyelidikan, perkhidmatan, latihan dan pembentukan kurikulum, khidmat nasihat dan projek berkaitan komuniti autisme di Malaysia. 

"Kepakaran UiTM dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi diharap dapat membantu penyelidikan dan badan berkaitan untuk melakukan analisis selain mempunyai akses kepada data yang diperlukan berkaitan autisme, " katanya. 

Beliau berkata antara penyelidikan yang telah dijalankan adalah kajian kinesiologi mengenai pola berjalan kanak-kanak autistik untuk membantu rehabilitasi motor dan pengesanan awal Autism Spectrum Disorder.

“Melaluinya, satu perisian iaitu Gait Deviation Index telah dibangunkan bagi mengukur kemahiran motor kanak-kanak melalui cara berjalan. Perisian ini akan membantu mengenal pasti bahagian anggota badan yang memerlukan rehabilitasi,” katanya. 

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2