Dr Ong Beng Hooi
ALOR SETAR, 4 April (Bernama) -- Umum lebih mengetahui antara penyakit yang sering membawa maut adalah seperti kanser, namun ramai tidak menyedari, penyakit berkaitan saraf juga boleh menyebabkan kematian dalam tempoh singkat selepas diagnosis.
Pakar Neurologi Kedah Medical Centre, Dr Ong Beng Hooi berkata individu yang dikesan menghidap penyakit berkaitan saraf seperti motor neuron disease (MND) misalnya, hanya mampu bertahan antara dua hingga lima tahun sahaja.
"Antara kes paling cepat pernah saya jumpa, hanya enam bulan selepas didiagnosis, pesakit meninggal dunia," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya ada juga yang unik seperti kes ahli fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking yang 'hidup bersama' MND atau dikenali juga sebagai amyotrophic lateral sclerosis (ALS) selama 55 tahun, beliau meninggal dunia pada usia 76 tahun pada 2018.
Berbeza dengan kes Stephen Hillenburg, pencipta watak animasi popular ‘Spongebob SquarePants’ yang meninggal dunia pada 2018 selepas diagnosis lebih kurang setahun sebelum itu dan legenda bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari yang meninggal dunia pada usia 38 tahun akibat MND atau ALS.
"Sehingga kini para pakar belum mengenal pasti apakah punca sebenar atau siapakah yang lebih berisiko menghidap MND, namun apa yang boleh saya katakan yang selalu mendapatnya ialah ahli sukan dan lebih cenderung dihidapi golongan lelaki.
"Simptom MND adalah otot menjadi lemah untuk memegang, berjalan, menelan, bercakap dan mengganggu pernafasan sehingga akhirnya membawa kepada kematian," kata Dr Ong.
Beliau berkata tidak seperti penyakit lain, orang ramai dilihat seperti memandang remeh terhadap gejala penyakit berkaitan saraf dan sering kali merujuk kepada pakar setelah ia berada pada tahap yang sudah serius.
"Seseorang berasa lemah badan atau kebas otot, namun anggap ia perkara biasa dan tidak datang berjumpa pakar. Sepatutnya apabila berasa ada kelainan pada anggota badan, mereka perlu dapatkan rawatan, sekurang-kurangnya doktor dapat katakan bukan MND dan memberi rawatan bersesuaian.
"Tapi jika sah menghidap MND, ia sebenarnya seolah hukuman mati, doktor hanya boleh memberi rawatan melambatkan perkembangan MND kerana hingga kini MND masih belum ada penawar dan biasanya berakhir dengan maut dalam tempoh singkat," katanya.
Dr Ong berkata antara tanda lain yang menunjukkan seseorang menghidap penyakit berkaitan saraf adalah apabila berlaku 'muscle jumping' atau disebut sebagai fasikulasi iaitu kontraksi otot yang terjadi secara tiba-tiba.
"Ada kalanya ia berlaku tanpa sebab, tapi ada kes berlaku sebab ada masalah pada saraf, jadi lebih baik berjumpa dengan pakar untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Dr Ong berkata untuk diagnosis penyakit berkaitan saraf beberapa kaedah digunakan antaranya melakukan kajian sejarah tahap kesihatan terhadap pesakit dan ujian klinikal yang teliti.
"Untuk mendapatkan keputusan tepat tentang jenis masalah saraf yang dihidapi pesakit, kita akan bawa ke Makmal Neurofisiologi untuk melakukan ujian menggunakan mesin khas seperti Electroencephalography (EEG), Nerve Conduction Study (NCS) dan Transcranial Magnatic Stimulation (TMS)," katanya.
Beliau berkata pengesanan dan rawatan awal sangat penting dalam mengenal pasti sebarang penyakit dan setiap individu perlu bersikap lebih terbuka serta peka dengan perubahan pada diri masing-masing.
Dr Ong merupakan antara doktor pakar saraf di negara ini yang boleh mengenal pasti penyebab penyakit saraf melalui mesin TMS.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN