Kerajaan tidak ada kuasa larang merokok dalam kenderaan persendirian



KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan  merokok di dalam kenderaan persendirian, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kenderaan persendirian adalah ruang peribadi seseorang dan ia tidak boleh diganggu.

“Merokok dalam kereta itu kawasan persendirian, kita tidak boleh ganggulah melainkan kalau perokok (merokok) dalam kenderaan awam kerana ia berada di bawah peraturan sedia ada dan ia memang kawasan larangan merokok.

“Kalau ibu bapa yang memandu dan dalam kereta ada kanak-kanak sepatutnya (mereka) tidak merokok. Mereka (ibu bapa) patut jaga anak supaya tidak merokok. Kalau dia pandu seorang, itu hak dia untuk dia merokok atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Menanam Pokok ‘Let’s Go Green’ anjuran Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Pengerusi LFM Datuk Dr Zainudin Md Zain.

Dr Lee mengulas kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Mohamed Namazie Ibrahim semalam berhubung cadangannya agar kerajaan mempertimbangkan kempen kesedaran bagi menghalang perbuatan merokok di dalam kenderaan kerana mereka yang melakukan perjalanan dalam satu kumpulan terdedah secara langsung kepada asap rokok basi jika seorang daripada mereka merokok di dalam kenderaan itu.

Katanya, beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Perancis telah menguatkuasakan larangan merokok di dalam kenderaan persendirian, dengan mengenakan denda bagi mereka yang merokok jika ada kanak-kanak atau wanita hamil berhampiran.

Sementara itu, Dr Lee berkata sebanyak 22,767 notis amaran telah dikeluarkan kepada premis makanan dan restoran yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dari 1 Jan hingga 24 Feb di seluruh negara.

Katanya, setakat ini belum ada saman dikeluarkan namun Julai ini kementeriannya akan mula mengeluarkan saman ke atas premis yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018