Hospital Sultanah Bahiyah 'lahir' 400 bayi IVF dalam 10 tahun



ALOR SETAR, 10 April (Bernama) -- Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, berjaya ‘melahirkan’ lebih 400 bayi melalui rawatan persenyawaan In vitro (IVF), sejak mula menawarkan perkhidmatan itu 10 tahun lalu, kepada pasangan yang mempunyai masalah mendapatkan zuriat secara semula jadi.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Unit Perubatan Reproduktif dan Tabung Uji HSB, mula menerima kes IVF pertama pada 2009, dan bayi tabung uji pertama selamat dilahirkan di hospital itu pada 3 Dis tahun sama.

“Buat masa ini HSB merupakan satu daripada empat hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menawarkan perkhidmatan rawatan IVF di samping Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas di Sabah,” katanya di sini.

Katanya antara kriteria untuk mendapatkan rawatan IVF di HSB, pasangan mestilah daripada perkahwinan yang sah, berumur kurang 42 tahun dan belum mempunyai anak daripada perkahwinan semasa.

“Antara rawatan kesuburan yang disediakan ialah analisis sperma, terapi hormon dan rangsangan ovulasi, pemanian berhadas, pemindahan embrio, pembekuan embrio dan sperma,” katanya.

Dr Norhizan berkata dengan adanya perkhidmatan rawatan IVF di hospital-hospital KKM, kos rawatan kesuburan jauh lebih rendah berbanding jumlah caj yang dikenakan pihak swasta.

“Ini membolehkan semua rakyat terutama yang berpendapatan rendah, masih mampu meneruskan rawatan kesuburan bagi mencapai impian mereka untuk mempunyai zuriat sendiri,” katanya.

Menurutnya, kos rawatan IVF bagi setiap hospital bagaimanapun berbeza mengikut peruntukan yang diterima dan kadar kejayaan rawatan bergantung kepada usia wanita dan faktor yang menyebabkan infertiliti.

“Infertiliti adalah kegagalan pasangan untuk mengandung selepas 12 bulan mencuba untuk hamil, atau wanita yang berumur lebih 35 tahun belum mengandung setelah enam bulan mencuba untuk hamil,” katanya.

Katanya, secara umumnya peratusan kejayaan yang dilaporkan di Eropah dan Amerika Syarikat adalah dalam julat 29 hingga 43 peratus bagi wanita berumur di bawah 35 tahun dan  antara 15 hingga 27 peratus bagi wanita berusia 38 hingga 40 tahun.

Dr Norhizan berkata bagi unit IVF di HSB, dalam tempoh 10 tahun penubuhannya, unit itu telah melakukan sebanyak 1,422 pengambilan telur dan 1,244 pemindahan embrio dengan peratus kejayaan sebanyak 32.16 peratus.

“Peratusan yang dicapai HSB adalah sesuatu yang dibanggakan dengan mengambil kira perkhidmatan ini adalah baru, dan masih ramai lagi pasangan sedang menunggu tarikh kelahiran.

“Di sebalik kejayaan penubuhan unit ini, pengiktirafan harus diberikan kepada Pakar Perubatan Reproduktif HSB, Dr. Murizah Md Zain dan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HSB, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor,” katanya.

Beliau berkata kejayaan dicapai unit itu juga adalah hasil penggemblengan tenaga pasukan yang hebat terdiri daripada pegawai sains embriologi, jururawat, dan juga pihak pentadbir HSB.

Katanya Kumpulan Sokongan Bayi Tabung Uji HSB juga ditubuhkan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat dan menyalurkan maklumat tepat mengenai prosedur rawatan kesuburan.

Kumpulan sokongan itu juga penting kerana terdapat pelbagai isu seperti emosi, pemikiran dan fizikal yang perlu dihadapi pasangan untuk tampil sendiri ke hospital bagi menjalani proses rawatan kesuburan, katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2