Penyelidik UMT beri penjelasan



KUALA TERENGGANU, 10 April (Bernama) -- Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini tampil memberi penjelasan berhubung isu makanan laut kerang-kerangan di Selat Melaka yang disalah lapor kononnya tercemar.

Pensyarah Kanan Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT, Prof Madya Dr Ong Meng Chuan berkata pencemaran logam berat yang diulas olehnya sebelum ini, hanya merujuk kepada kesan aktiviti manusia sekiranya tidak dikawal dengan baik.

Menerusi satu kenyataan, Ong berkata keadaan itu mampu menyumbang kepada persekitaran marin serta spesis kerang-kerangan kerana organisma tersebut hanya mendiami habitat yang sama dan tidak berpindah seperti ikan.

Sebelum ini, media tersilap melaporkan kononnya penggemar makanan laut bercengkerang terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung, dinasihat mengurangkan pengambilan makanan jenis itu berikutan risiko dijangkiti penyakit akibat keracunan logam berat.

Namun apa dimaksudkan beliau ialah sekiranya hidupan laut itu telah terbukti secara saintifik tidak selamat untuk dimakan, ia akan memudaratkan kesihatan manusia jika pengambilan makanan tersebut tidak terkawal.

Selain itu, Ong berkata penyelidik UMT juga tidak mengambil sampel kerang-kerangan sepanjang ekspedisi pelayaran saintifik menggunakan kapal penyelidikan UMT, RV Discovery sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) dari Kuala Terengganu hingga ke Tanjung Lembong, Pulau Langkawi, Kedah.

“Penyelidik UMT tidak mengambil sampel kerang-kerangan sepanjang ekspedisi yang dijalankan pada 13 Mac hingga 7 April lalu. Hanya sampel sedimen, air laut, plakton bentos dan mikroplastik sahaja disampel di perairan tersebut,” katanya.

Tambah Ong, sampel-sampel sedimen yang diambil sepanjang ekspedisi itu juga masih belum dianalisa secara terperinci untuk mengetahui kandungan logam berat.

Beliau berkata berdasarkan kajian kualiti sedimen pada Ekspedisi Saintifik Selat Melaka pada 2015, kebanyakan logam tertumpu di kawasan pelabuhan, muara sungai dan kawasan pesat/perindustrian sama ada di perairan Selat Melaka mahupun Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Namun secara puratanya, masih rendah dibandingkan dengan pelabuhan negara-negara lain dan nilai purata kerak bumi. 

“Sekiranya dibandingkan status pencemaran antara Selat Melaka dan Laut China Selatan, kandungan logam berat di Laut China Selatan lebih rendah kerana Laut China Selatan mempunyai kawasan lebih luas dan isipadu air yang banyak, secara tidak langsung telah mencairkan kepekatan logam.

“Selain itu pembangunan pesisir pantai timur masih kurang berbanding pantai barat,” katanya.

Menurut Ong, penyelidik UMT hanya pernah menjalankan kajian kepekatan logam berat terdapat dalam organisma kerang-kerangan di Sungai Muar sahaja dengan empat spesis hidupan laut kerang-kerangan yang diambil sampel melibatkan tiram, kepah, lokan dan kerang.

Hasil dapatan kajian sampel-sampel itu mendapati semua spesis tersebut masih selamat dimakan kerana paras kandungan logamnya di bawah paras ditetapkan dan tidak mendatangkan mudarat kepada manusia, katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2