Tiada penyakit misteri serang STAR Ipoh, hanya Influenza A

Perak

IPOH, 17 April (Bernama) -- Tiada serangan penyakit misteri berlaku di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh di sini sebagaimana yang tular di media sosial sejak semalam, sebaliknya hanya jangkitan Influenza A H1N1.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A.Sivanesan berkata seramai 79 pelajar berumur 13 hingga 17 tahun dan seorang guru sekolah tersebut dikesan mengalami kluster demam serta batuk, semalam. 

Katanya daripada jumlah itu, dua pelajar dimasukkan ke sebuah hospital swasta untuk rawatan serta pemantauan dan seorang daripadanya telah dibenar keluar wad hari ini, manakala kes-kes lain menerima rawatan pesakit luar.

"Semua kes berada dalam keadaan stabil. Seramai 28 orang diisolasi dan empat sampel daripada kes kluster ini disahkan positif Influenza A H1N1. Situasi kluster di sekolah ini adalah terkawal," katanya dalam satu sidang media di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini. 

Beliau mengulas berita tular termasuk di Facebook yang menyatakan 100 pelajar STAR Ipoh diserang penyakit misteri dengan kebanyakannya batuk, muntah dan demam sehingga ada ibu bapa yang datang mengambil anak mereka.

Menjelas lanjut, Sivanesan berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah mengambil tindakan kawalan bagi mencegah perebakan jangkitan tersebut termasuk mengasingkan kes-kes bergejala daripada pelajar-pelajar lain yang sihat. 

Katanya bagi mencegah jangkitan, orang ramai adalah disarankan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital jika terdapat gejala Influenza seperti demam, batuk dan sakit tekak. 

"Berada di rumah sepanjang tempoh bergejala dan kurangkan pertemuan dengan rakan atau saudara-mara, elakkan ke tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah, sekolah, tadika atau tempat kerja serta menghadiri majlis keramaian," katanya. 

Beliau berkata sekiranya masih diperlukan bekerja, mereka yang bergejala perlu memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa berada di tempat kerja selain perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik. 

Pengambilan suntikan vaksin Influenza Bermusim adalah digalakkan terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi, katanya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2