UMSC, Pfizer bekerjasama tingkatkan kesedaran awam mengenai vaksin



KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- University Malaya Specialist Centre (UMSC) hari ini mengadakan forum awam bagi meningkatkan kesedaran tentang vaksin mencegah penyakit untuk kanak-kanak, orang dewasa dan juga pengembara. 

Pengarah Perubatan UMSC Prof  Dr Vicknes Waran Mathaneswaran berkata komen negatif mengenai vaksin bukan sahaja melibatkan kanak-kanak tetapi juga vaksin untuk orang dewasa termasuk bakal jemaah haji.

“Jika orang ramai mengambil langkah pencegahan, ini lebih baik, selamat dan pastinya menjimatkan kos,” katanya kepada Bernama pada Forum Vaksinasi di The Vertical, di sini hari ini. 

Forum diadakan dengan kerjasama rakan kongsi farmaseutikal Pfizer Malaysia bersempena  Minggu Imunisasi Dunia 2019 bertemakan ‘Protected Together, Vaccines Work’ yang menyediakan akses kepada ubat-ubatan yang selamat dan efektif.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporal Pfizer Malaysia Noor Yang Azwar Kamaruddin berkata jangkitan penyakit pneumococcal  semakin membimbangkan dengan mortaliti yang tinggi sehingga 1.6 juta kematian setiap tahun melibatkan bayi dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun di seluruh dunia.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia  mengklasifikasikan penyakit  pneumococcal sebagai penyebab utama mortaliti dan morbiditi, dan vaksinasi  pneumococcal boleh membantu mencegahnya,” katanya.


Pakar Penyakit Berjangkit UMSC Dr Asma Sohail.Foto: Amirul Azmi

Pada forum itu, Pakar Penyakit Berjangkit UMSC Dr Asma Sohail berkata 2018 merekodkan angka kematian yang tinggi dalam kalangan mereka yang tidak menerima vaksin bagi penyakit seperti campak, difteria dan pertusis. 

“Ada enam kematian akibat campak dengan kesemua mangsa tidak diimunisasi, lima kes difteria dengan empat tidak menerima vaksin sementara 22 kes pertusis dengan 19 tidak diimunisasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan vaksinasi bagi pengembara kerana mereka mungkin terdedah kepada pelbagai penyakit baharu di tempat yang mereka lawati.

“Orang ramai tidak sedar terdapat banyak penyakit berjangkit boleh menjangkiti mereka ketika melancong. Kesemua penyakit ini boleh dicegah dengan vaksinasi, justeru jumpa doktor kira-kira enam hingga lapan minggu sebelum ke luar negara,” katanya.

Pada forum itu, peserta disediakan perkhidmatan saringan kesihatan asas percuma selain pemeriksaan tekanan darah dan indeks jisim tubuh (BMI) serta pakej vaksinasi pneumococcal bagi kanak-kanak istimewa dan bakal jemaah haji. 

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018