Hanya 12.5 peratus kes tibi tahun lepas libat warga asing



MELAKA, 22 April (Bernama) -- Hanya 12.5 peratus iaitu 3,242 daripada keseluruhan 25,837 kes tuberkulosis atau tibi tahun lepas melibatkan warga asing di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. 

Beliau berkata daripada jumlah itu Sabah merekodkan jumlah paling ramai warga asing menghidap penyakit tibi iaitu 1,558 kes diikuti Selangor (629 kes), Kuala Lumpur (330 kes), Johor (168 kes) dan selebihnya negeri lain.

Katanya walaupun peratusan itu dilihat agak kecil, kementeriannya tetap memandang serius penularan penyakit tibi dalam kalangan warga asing khususnya mereka yang bekerja di negara ini.

“Semua pihak yang mengawal pintu masuk utama negara seperti Jabatan Imigresen, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri memainkan peranan yang sama, tidak hanya mengharapkan Kementerian Kesihatan semata-mata,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

Pada 26 Mac lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan sebagai berkata trend penularan penyakit tibi di Malaysia menunjukkan penurunan sebanyak 1.3 peratus atau 25,837 kes pada tahun lepas berbanding 26,168 kes pada 2017.

Dr Dzulkefly berkata langkah pencegahan dari peringkat awal amat penting berikutan kos rawatan untuk penyakit tibi agak tinggi terutama membabitkan pesakit tibi yang kronik. 

“Di peringkat awal kos rawatan bagi penyakit tibi antara RM300 dan RM500, namun kos itu boleh meningkat sehingga mencecah antara RM8,000 dan RM20,000 bagi seorang dalam tempoh enam bulan rawatan,” katanya. 

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau berkata antara usaha pengesanan awal penyakit tibi adalah melalui pemeriksaan saringan terhadap golongan berisiko tinggi seperti pesakit HIV, renal failure on dialysis, diabetes, warga emas, institusi penjara dan rehabilitasi. 

Menurut beliau suntikan imunisasi BCG kepada bayi baru lahir amat penting bagi mengurangkan komplikasi ‘TB meningitis’ dan ‘TB miliari’ terhadap kanak-kanak. 

“Sejumlah 19 buah mesin gene x-pert yang berupaya mengesan ‘rifampicin resistant TB’ dalam masa yang lebih singkat juga telah disediakan di hospital-hospital terpilih. 

“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan berkualiti, pada tahun ini sejumlah 103 tambahan LED mikroskop fluoresen telah diagihkan ke seluruh negeri,” katanya. 

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018