PeKa B40: seramai 979 orang telah jalani saringan kesihatan - Dr Lee

Dr Lee Boon Chye (dua, kanan) menziarahi dan bertanya khabar seorang pesakit pada lawatannya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) hari ini.

SEREMBAN, 22 April (Bernama) -- Seramai 979 orang telah menjalani saringan kesihatan bagi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) sejak ia bermula 15 April lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata melalui PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan RM100 juta itu, mereka yang layak boleh menjalani saringan kesihatan di 1,226 klinik kesihatan meliputi 589 klinik perubatan swasta umum (GP) dan 637 klinik kesihatan di seluruh negara.

“Mereka yang layak telah menjalani saringan kesihatan dibawah PeKa B40 dan saya nak sebutkan sekali lagi mereka yang layak adalah mereka yang menerima Bantuan Sara Hidup dan berumur 50 tahun ke atas. Mereka boleh semak kelayakan dalam internet iaitu di laman sesawang www.pekab40.com.my dan boleh dapat senarai klinik-klinik swasta atau pun klinik-klinik kesihatan yang mendaftar untuk program ini.

“Jadi sekiranya mereka layak, mereka boleh pergi ke klinik swasta atau klinik kesihatan untuk jalani saringan kesihatan melibatkan pemeriksaan darah, kencing manis, buah pinggang, kolestrol, darah tinggi dan saringan kesihatan mental,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini dan turut dihadiri Pengarah HTJS Dr Jazari Jamaludin serta beberapa pegawai kementerian.

Kira-kira 800,000 rakyat Malaysia berumur 50 tahun ke atas daripada kumpulan B40 bakal menerima manfaat PeKa B40 dengan peruntukan RM100 juta yang akan dilaksanakan secara berperingkat 

Antara manfaatnya ialah saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser serta insentif tambang pengangkutan.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata wabak Influenza A (H1N1) yang berlaku di sekitar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, Perak berada dalam keadaan terkawal dengan empat daripadanya  positif wabak itu.

“Baki selebihnya adalah Influenza-Like-Illness (ILI),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 102 orang termasuk seorang guru yang mempunyai jangkitan saluran pernafasan seperti demam, sakit tekak dan batuk di STAR, Ipoh.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2