Oleh Siti Salwa Shaari
LIPIS, 1 Mei (Bernama) -- Penempatan Orang Asli, Pos Lenjang di sini, bakal menjadi projek rintis kepada pelaksanaan Pos Medik Orang Asli pertama di negara ini.
Inisiatif mewujudkan pos medik itu dilakukan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) menerusi program ‘DRs For All’ atau Doktor untuk Semua, yang bertujuan memastikan tiada individu ketinggalan dalam perkhidmatan perubatan.
Presiden FPMPAM Dr Steven Chow berkata ilham untuk menubuhkan pos medik itu timbul berdasarkan pengalaman mereka meredah perjalanan hampir sejam dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak dan meredah sungai untuk ke Pos Lenjang pada awal tahun lepas.
"Kami dimaklumkan petugas kesihatan akan ke sini setiap minggu mengikut jadual, menyebabkan kami berasa bimbang adakah penduduk di sini tahu apa yang perlu dilakukan jika berlaku situasi kecemasan terutamanya pada waktu malam dan adakah mereka boleh segera ke klinik?
"Jadi, kami fikir adalah wajar untuk menurunkan ilmu rawatan kecemasan kepada mereka dan menyediakan pos medik yang mempunyai ubat-ubatan asas, supaya mereka boleh memberi rawatan kecemasan sebelum mendapatkan rawatan sebenar," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Kampung Dayok, Pos Lenjang di sini, hari ini.
Untuk rekod, DRs For All dilancarkan pada 10 Jan lepas oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye di Hospital Orang Asli Gombak, Selangor dengan matlamat menjalankan kem kesihatan dan latihan kecemasan jangka panjang kepada belia di pendalaman.
Dr Steven berkata beliau juga berterima kasih kepada 'orang lama' Kampung Dayok, Bahlong Pakdai, 80, yang membenarkan pos medik dibangunkan di tanah miliknya, ekoran kedudukannya yang terletak di laluan utama Pos Lenjang.
Katanya, berdasarkan perancangan, pos medik itu dijangka siap dalam tempoh tiga bulan dan akan dikendalikan oleh 14 sukarelawan orang Asli yang dilatih untuk memberikan rawatan kecemasan dan mengendalikan kes ringan seperti luka, patah atau dipatuk ular, sebelum pesakit dibawa ke hospital.
"Bagi tujuan itu, kami mengadakan Kursus Latihan Medik Orang Asli di sini, selama tiga hari untuk memberi pendedahan asas rawatan kecemasan. Mereka akan mengikuti latihan seterusnya di Kuala Lumpur pada Jun ini sebagai bahagian kedua kursus.
"FPMPAM akan kembali semula ke sini (Pos Lenjang) untuk menilai kebolehan dan kemahiran sukarelawan ini bagi memilih mereka yang akan menggalas tanggungjawab mengendalikan pos medik," katanya.
Dr Steven berkata bagi meningkatkan kemahiran sukarelawan itu, beliau akan berbincang dengan anggota FPMPAM untuk menempatkan mereka di klinik-klinik anggota untuk tempoh sesuai, bagi memberi pendedahan 'dunia sebenar' klinik.
Beliau secara peribadi berharap kejayaan pos medik Pos Lenjang itu kelak, dapat diteruskan ke penempatan Orang Asli lain, khususnya yang terletak jauh di pendalaman dan sukar untuk dilalui oleh kenderaan biasa atau ambulans.
Sementara itu, Senator Adrian Lasimbang yang turut hadir pada program itu berharap lebih banyak pihak swasta membantu kerajaan dalam aspek penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar.
"Aspek kesihatan adalah salah satu hak asasi manusia dan kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, namun ada masanya kita berhadapan dengan kekangan bajet dan akses ke lokasi.
"Kesudian pengamal perubatan untuk turun padang, berkongsi ilmu dan mewujudkan sebuah pos medik di sini amat dihargai kerana kita tahu rawatan kecemasan oleh responden pertama dapat membantu menyelamatkan nyawa," katanya.
Bagi Bahlong, beliau tidak teragak-agak untuk membenarkan tanah kosong yang terletak di sebelah rumahnya dibangunkan menjadi pos medik kerana menyedari manfaatnya kepada 14 kampung Orang Asli di dalam Pos Lenjang.
"Saya terdengar mereka mahu mencari tapak semalam, jadi terus saya berikan persetujuan... apa lagi selepas diberitahu anak-anak kami sendiri yang menjaganya. Memang ada petugas kesihatan yang masuk ke sini setiap minggu, tapi sakit ini boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN