Kementerian Kesihatan tiada masalah jika operasi LRA Ayer Ganda dibuka semula

Dr Lee Boon Chye (gambar fail)

IPOH, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sekiranya Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda di Gerik boleh dibuka atau terus ditutup, sebaliknya ia hanya boleh memberikan respons mengenai air yang dihasilkan sahaja. 

"Bukan bidang kuasa kami untuk memutuskan sekiranya loji rawatan air itu harus dibuka, atau terus ditutup. Kami hanya mengatakan bahawa air dari loji itu tidak selamat untuk diminun atau bagi tujuan masakan, namun ia masih boleh digunakan bagi tujuan lain,” kata  timbalan menterinya Dr Lee Boon Chye.

Menurutnya Kementerian Kesihatan tidak mempunyai halangan sekiranya LRA Ayer Ganda di Gerik yang ditutup sejak awal bulan lepas dibuka semula, namun bertegas bahawa jika dilaksanakan, ia perlu disertai dengan syarat bahawa air itu tidak boleh digunakan sebagai air minuman atau air untuk kegunaan masakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar Hentikan Penderaan Peringkat negeri Perak di Meru, sini hari ini. 

LRA Ayer Ganda ditutup sejak 9 April lepas atas arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana dikesan tercemar dengan logam kimia berat iaitu arsenik, dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 26 April lalu menyatakan bahawa Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar memaklumkan pihaknya tidak dapat menarik balik arahan penutupan loji kecuali mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan. 

Dr Lee pada 18 April telah memaklumkan air dari LRA Ayer Ganda boleh digunakan untuk tujuan mencuci pakaian dan mandi.

Bagaimanapun, sehari sebelum itu, SPAN yang berperanan sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air negara menerusi satu kenyataan memberitahu ia tiada perancangan untuk mengembalikan semula operasi LRA Ayer Ganda kerana pencemaran arsenik masih dikesan.

Menjelas lanjut, Dr Lee yang juga Anggota Parlimen Gopeng berkata pihaknya telah memaklumkan secara rasmi kepada SPAN minggu lalu bahawa air di loji itu selamat digunakan selain untuk makan dan minum. 

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018