Kempen Speak Out: Perkasa bukan perokok nyatakan hak



SEPANG, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan hari ini melancarkan kempen Speak Out: Express Your Right, Protect Your Lung (Bersuaralah: Nyatakan Hak Anda, Lindungi Paru-paru Anda) bagi memperkasa bukan perokok untuk menyatakan hak mereka dalam mendapatkan persekitaran bebas asap rokok.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu bukan bertujuan untuk berkonfrontasi dengan perokok tetapi lebih kepada memberikan ruang kepada 85 peratus penduduk yang tidak merokok mengekspresikan hak dan meyakinkan golongan perokok untuk berhenti merokok.

"Menyedari bahaya asap rokok kepada manusia, kementerian berpendapat sudah tiba masanya untuk mengambil inisiatif memperkasa golongan bukan perokok agar mereka mampu mengatakan tidak kepada asap rokok basi.

"Ketika ini terdapat 85 peratus penduduk negara ini tidak merokok dan kita yakin mereka berupaya membantu kerajaan menjayakan kempen yang akan dijalankan selama lima tahun, iaitu sehingga 2025," katanya ketika melancarkan kempen itu di sini.

Dzulkefly berkata pelancaran kempen sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baharu Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan hari ini antara lain akan mendedahkan dan mendidik masyarakat untuk membantu perokok berhenti merokok, seiring penguatkuasaan kawasan larangan merokok yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata pelbagai tema akan digunakan sepanjang tempoh kempen seiring fokus yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang memfokuskan kepada tembakau dan paru-paru sihat.

Zulkefly berkata pihaknya sedar tidak semua orang mampu menegur perokok yang berada di sekeliling mereka tetapi yakin dengan cara teguran yang betul 15 peratus golongan perokok dalam masyarakat akan tergerak hati untuk berhenti merokok.

Beliau berkata kempen itu diperkenal selepas kajian Bahagian Pendidikan Kesihatan ke atas 1,430 responden yang dijalankan pada 4 April hingga 28 April lepas menunjukkan 98.4 peratus menyokong pihak kerajaan menjalankan kempen Speak Out.

Daripada jumlah itu, 96 peratus bersetuju bahawa mereka akan menegur perokok yang merokok di sekeliling mereka, katanya.

Dalam pada itu, Zulkefly berkata sehingga semalam, sebanyak 25,791 amaran bertulis dikeluarkan kepada pemilik premis makanan daripada 90,078 premis makan yang diperiksa sejak larangan merokok di tempat makan dikuatkuasakan Januari lepas.

Untuk tempoh sama, sebanyak 200,887 Aktiviti Penguatkuasaan Pendidikan telah dijalankan yang antara lain meliputi aktiviti mengingatkan tuan punya premis tentang tanggungjawab meletakkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok sebagaimana peraturan yang digariskan, katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018