Program nutrisi untuk Orang Asli dilaksanakan sejak 2010

IPOH, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan melaksanakan program untuk meningkatkan nutrisi kalangan kanak-kanak Orang Asli di Pos Kemar, Gerik bawah Program Community Feeding (CFM) sejak 2010. 

Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataan berkata inisiatif itu bermula dengan empat penempatan Orang Asli sebelum diperluaskan ke tujuh penempatan, keseluruhannya terdapat 17 pusat CFM di Pos Kemar. 

“Sekali seminggu, kanak-kanak ini diberi susu, biskut dan vitamin oleh sukarelawan tempatan.

“Bagaimanapun, Kampung Ralak dan tujuh lagi penempatan Orang Asli tidak dapat menyertai program ini kerana masalah logistik dan pengangkutan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris bertajuk, We feel we may go extinct: Orang Asli are starving in Perak’s jungles pada 5 Mei.

Menurut kenyataan itu, untuk rekod seramai 86 orang daripada 643 kanak-kanak yang berumur bawah enam tahun di Pos Kemar, menghadapi masalah kekurangan nutrisi dan mereka ditempatkan di bawah CFM sejak 2010.

“Bagi vaksinasi, 80 peratus kanak-kanak di Pos Kemar telah diberi vaksin polio manakala 75 peratus daripada mereka menerima vaksin MMR (campak, beguk dan rubella). Sebahagian daripada kanak-kanak ini terputus vaksin mereka selepas keluarga mereka berpindah ke dalam hutan.  

“Untuk menangani masalah vaksin kalangan kanak-kanak Orang Asli, Kementerian Kesihatan menubuhkan klinik subsidiari di tiga lokasi iaitu Kampung Ralak/Pensek, Kampung Panderas dan Kampung Lerlar," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan untuk membuat perubahan, harus ada program berterusan untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat Orang Asli.

“Beliau berkata setiap kampung atau penempatan mempunyai masalah tersendiri dan pendekatan satu penyelesaian untuk semua masalah, tidak akan berjaya untuk membantu komuniti itu,” menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, dalam satu sidang media Ahmad Faizal mahu semua pihak termasuk media yang mempunyai maklumat mengenai permasalahan dihadapi rakyat terutama di kawasan luar bandar diminta tidak mensensasikan isu tersebut, sebaliknya melaporkan kepada pihak bertanggungjawab.

"Media sepatutnya cari jalan bantu golongan ini untuk selesaikan masalah, bukan sensasikan. Jika ada maklumat, laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, wakil rakyat atau mana-mana jabatan berkaitan untuk membolehkan tindakan diambil," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Scanda Sky dengan Malaysia Airlines Berhad di sini.

-- BERNAMA

 


 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018