Jabatan Kesihatan Kedah keluar 211 kompaun dalam Ops Pra Ramadan



ALOR SETAR, 8 Mei (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengeluarkan 211 notis kompaun  kepada premis makanan dan pembekal bahan mentah atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi pra Ramadan yang dilaksanakan pada April lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan terhadap 240 premis makanan dan pembekal bahan mentah termasuk lima kilang ais dalam tempoh berkenaan di seluruh Kedah.

“Kesalahan tidak menjalankan pemeriksaan perubatan dan kesihatan terhadap pengendali makanan mencatatkan jumlah kompaun tertinggi iaitu sebanyak 58 notis selain gagal mendaftarkan premis makanan dan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Daripada jumlah 240 premis yang diperiksa, sebanyak 16 premis telah diarah tutup dan operasi turut melibatkan rampasan barangan yang menyalahi kesalahan termasuk tarikh luput, rosak dan pelabelan yang bernilai RM4,743,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bazar Ramadan Pokok Sena sebelum menjalankan aktiviti pemeriksaan dan promosi keselamatan makanan yang turut disertai 63 anggota dan pegawai dari Jabatan Kesihatan negeri, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan Majlis Bandaraya Alor Setar.

Dr Norhizan berkata operasi berkenaan akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan di mana pemeriksaan dijalankan di 87 tapak bazar seluruh Kedah dalam usaha untuk memantau penyediaan makanan dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan makanan.

“Pada tahun lepas, tiada kes keracunan yang dilaporkan berpunca dari Bazar Ramadan jadi bagi memastikan makanan yang dijual selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemantauan akan terus dilaksanakan.

Kita turut mengambil sampel makanan yang dijual secara rambang bagi memantau status kebersihan makanan yang dijual dan sekiranya gagal, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap peniaga makanan,” katanya.

Beliau berkata taklimat kesihatan juga telah diberikan kepada pengusaha Bazar Ramadan yang mana antara perkara yang diberi penekanan ialah menjaga kebersihan diri dan mengamalkan cara pengendalian makanan yang bersih termasuk memakai apron, sarung tangan dan penutup kepala.

“Saya juga ingin mengingatkan pembeli supaya mengamalkan konsep Lihat, Hidu dan Rasa sebelum makan bagi mengelak daripada terkena keracunan makanan dan sekiranya berasa ragu dengan status makanan yang dijual, mereka boleh menyalurkan aduan kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat,” katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018