Satu kes jangkitan cacar monyet libatkan warga asing disahkan di Singapura



Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 9 Mei (Bernama) -- Singapura hari ini mengesahkan satu kes jangkitan cacar monyet melibatkan warga asing di republik itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata pesakit itu ialah warga Nigeria berusia 38 tahun yang tiba di Singapura pada 28 April 2019, dan telah diuji positif cacar monyet pada 8 Mei.

Beliau kini ditempatkan di wad pengasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), dan keadaannya stabil, kata kementerian menerusi laman sesawangnya.

MOH berkata pesakit melaporkan bahawa sebelum tiba di Singapura, beliau telah menghadiri majlis perkahwinan di Nigeria dan mungkin telah memakan daging hidupan liar yang mungkin menjadi punca jangkitan virus cacar monyet.

Kementerian berkata pesakit tinggal di sebuah hotel di 21 Lorong 8 Geylang dari 28 April dan telah menghadiri satu bengkel di 3 Church Street pada 29 dan 30 April.

Berdasarkan siasatan MOH dan pengesanan setakat ini, 23 orang telah dikenal pasti sebagai mereka yang telah berhubung rapat dengan pesakit.

Mereka termasuk 18 peserta dan pelatih yang menghadiri bengkel yang sama, seorang kakitangan di tempat bengkel dan empat kakitangan hotel yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit, kata kementerian.

MOH berkata mereka yang berhubung rapat dengan pesakit telah dinilai oleh NCID dan diberikan vaksinasi, yang boleh mencegah atau mengurangkan keterukan gejala penyakit itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka akan dikuarantin dan dipantau selama 21 hari dari tarikh terdedah kepada pesakit, kata Kementerian.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018