Sistem tergendala di Hospital Selayang, Jabatan Kesihatan ambil tindakan

Oleh Ahmad Erwan Othman dan Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Masalah gangguan teknikal di dalam mengakses kepada data pesakit sedia ada di Hospital Selayang menerusi aplikasi Hospital Information Sistem (HIS) yang telah berlarutan sejak dua minggu lalu memberi kesulitan kepada orang ramai untuk berurusan.

Tinjauan Bernama ke Hospital Selayang hari ini mendapati suasana di kaunter pendaftaran jabatan-jabatan di hospital itu sesak dengan pesakit yang terpaksa beratur panjang untuk mengisi borang secara manual bagi mendapatkan rawatan dan daftar masuk sejak awal pagi.

Malah rata-rata mereka mengeluh dan menyifatkan purata tempoh menunggu di hospital bagi pesakit luar yang menghampiri tiga jam disifatkan terlalu lama dan membebankan pesakit sendiri.

Seorang pesakit yang mahu dikenali sebagai Ismail, 50, berkata dia telah menghabiskan masa kira-kira lima jam untuk keputusan darahnya yang diambil pada minggu lalu (9 Mei) namun terpaksa pulang hampa dan diminta datang semula untuk mengambil darah sekali lagi pada hujung bulan ini.

"Saya datang hari ini untuk dapatkan keputusan darah dan ubat saya, tapi disebabkan sistem hospital masih down (tergendala), banyak masa saya telah dibazirkan dan nasib baiklah saya membawa jenis ubat-ubatan lama saya dari rumah dan tunjuk pada doktor untuk mendapatkan jenis ubat yang sama," katanya yang telah datang ke hospital itu sejak awal pagi.

Gangguan teknikal sistem pada akses rekod perawatan pesakit di hospital itu telah berlarutan sejak 4 Mei, menjadi rungutan pesakit hingga melewatkan mereka dalam tempoh perawatan dan daftar masuk.

Turut senada, seorang pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Khalid memberitahu gangguan teknikal sistem itu benar-benar menyusahkan kerana beliau difahamkan pesakit yang hendah masuk wad perlu sabar menunggu kerana rekod perlu diisi semula secara manual.

"Doktor perlu jumpa balik pesakit untuk mengenalpasti bahawa orang itu perlu dimasukkan ke dalam wad atau tidak. Sebelum ini pesakit yang nak masuk wad boleh rujuk dalam sistem itu sahaja," katanya yang terpaksa menunggu waktu yang agak lama sebelum berjumpa doktor.

Bagi seorang jururawat yang enggan dikenali memberitahu pihaknya terpaksa bertindak pantas membiasakan diri mengurus kelewatan tempoh perawatan pesakit dan beban kerja akan bertambah selepas sistem rekod hospital tersebut kembali beroperasi.

"Pihak hospital perlu mengisi rekod pesakit yang datang secara manual, dan rekod ini akan disi semula di dalam sistem rekod pesakit masing-masing apabila sistem sudah berfungsi semula," katanya yang rata-rata pesakit telah maklum akan hal tersebut dan memberi kerjasama yang baik kepada pihak hospital dan petugas.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Bernama berkata Bahagian Teknologi Maklumat masih berusaha mengenalpasti punca masalah gangguan teknikal berhubung aplikasi HIS Hospital Selayang itu.

Jelasnya lagi, meskipun demikian, perkhidmatan hospital kepada pesakit berjalan seperti biasa dan Bahagian Pengurusan Maklumat Kementerian Kesihatan (KKM) bersama pihak Hospital Selayang sedang memantau semua aktiviti pembaikan yang dijalankan sehingga selesai dan aplikasi HIS berfungsi seperti biasa.

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018