Jabatan Kesihatan Sabah ambil tindakan segera atasi masalah kebocoran bangunan HQE

Datuk Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU, 20 Mei (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Sabah mengambil tindakan segera dalam mengatasi masalah kebocoran bangunan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, yang menyebabkan air memasuki beberapa bahagian hospital berkenaan termasuk bilik bedah ketika hujan lebat minggu lepas.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, ini termasuk melakukan kerja-kerja pembersihan bangunan oleh syarikat konsesi hospital selain pihak pengurusan hospital juga bermesyuarat untuk membuat perancangan segera bagi memastikan perkhidmatan pembedahan tidak terjejas.

Dr Christina berkata hujan lebat berlaku itu telah mengakibatkan beberapa bahagian di tingkat tiga hospital termasuk dewan bedah dan Unit Perkhidmatan Bekalan Bahan Steril dimasuki air yang berpunca daripada limpahan air hujan dari tingkat empat bangunan.

“Pada masa itu, ada lima pesakit di dalam dewan bedah iaitu dua pesakit menjalani pembedahan elektif dan tiga pesakit menjalani pembedahan kecemasan. Kesemua pembedahan diselesaikan kecuali untuk seorang pesakit kerana pembedahan elektif belum dimulakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Christina mengulas video tular mengenai air hujan memasuki dewan bedah hospital itu pada Khamis lepas dan laporan sebuah akhbar dalam talian mengenai perkara berkenaan baru-baru ini.

Hujan lebat selama satu jam setengah bermula pukul 4.30 petang itu turut mengakibatkan banjir kilat di kawasan tempat letak kereta dan beberapa laluan jalan raya sekitar HQE.

Dr Christina berkata pada hari itu, pembedahan kecemasan masih dapat dilakukan di HQE menggunakan dewan bedah tidak terjejas, manakala pembedahan elektif dipindahkan ke HQE II serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

Menurut beliau, langkah segera turut diambil dengan membina penghadang konkrit di tingkat empat HQE bagi mengelakkan kebocoran selain melakukan kerja-kerja pembersihan di dewan bedah terjejas.

Lapan dewan bedah akan beroperasi seperti biasa minggu hadapan, manakala lapan lagi dewan bedah memerlukan pembersihan, pembaikan kecil dan keputusan sampel udara sebelum dibuka semula.

“Pihak kami yakin mulai 27 Mei ini, semua dewan bedah akan beroperasi seperti biasa. Tiada kerosakan mesin perubatan, ubat-ubatan atau sistem pendawaian elektrik akibat kejadian ini,” katanya.

Jabatan Kesihatan Sabah akan berusaha ke arah penyelesaian jangka panjang supaya kejadian sama tidak berulang selain memohon maaf kepada pelanggan dan pesakit atas segala kesulitan dialami akibat kejadian itu, katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.


UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 1