Klinik gigi haram, warga emas didenda RM40,000



KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Akibat  menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen, seorang lelaki warga emas didenda RM40,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Kan Char Yin, 64, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah  ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Dia didakwa menyediakan suatu klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di premis klinik Kan Tze Hin yang beralamat di 478 A, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 12 tengah hari, 13 Nov 2018. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda hingga RM300,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Kan yang diwakili peguam Khairul Ariffin Ab Rahman merayu hukuman ringan atas alasan  telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.

Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia,  Dr Abu Bakar  Ismail memohon mahkamah menjatuhkan  hukuman maksimum mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana melibatkan kesihatan dan keselamatan awam.

“OKS tidak mempunyai sebarang kelayakan untuk memberi rawatan atau sebagai pengamal perubatan pergigian, justeru ini membahayakan nyawa orang awam yang mendapatkan rawatan di premis tersebut dan perbuatan itu juga mencemar imej profesion pergigian,” katanya. 

Mengikut fakta kes, Kan gagal menunjukkan perakuan pendaftaran klinik pergigian swasta dan sijil pengamalan tahunan sebagai pengamal pergigian berdaftar ketika pemeriksaan dilakukan oleh pasukan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, pada hari kejadian. 

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2