Kerajaan New Zealand berikrar tangani isu ketagihan, kesihatan mental



WELLINGTON, 29 Mei (Bernama) -- Kerajaan New Zealand pada Rabu berikrar untuk mengambil serius isu ketagihan dan kesihatan mental dalam input belanjawan baharu dan pelaburan mapan, lapor agensi berita China Xinhua.

Laporan satu inkuiri mengenai ketagihan dan kesihatan mental yang ditugaskan kerajaan New Zealand telah dikeluarkan dan kerajaan telah menerima secara prinsip, atau bersetuju untuk mempertimbang lebih lanjut 38 daripada 40 syor panel siasatan.

Syor panel siasatan itu disifatkan oleh Perdana Menteri Jacinda Ardern sebagai "transformasi," meliputi peningkatan akses kepada perkhidmatan bagi menangani isu ketagihan dan kesihatan mental yang dibiayai orang awam dengan keperluan sederhana, sehinggalah memansuh dan menggantikan Akta Kesihatan Mental (Rawatan dan Penilaian Wajib) 1992.

"Kita perlu membina perkhidmatan baharu, melatih beratus-ratus kakitangan baharu dan membina fasiliti baharu di seluruh New Zealand. Semua ini memerlukan pelaburan yang signifikan dan mapan, bermula dengan Belanjawan Kesejahteraan esok namun akan mengambil masa bertahun-tahun," kata Ardern.

Menteri Kesihatan David Clark berkata sudah terlalu lama kesihatan mental dianggap sebagai kurang penting berbanding kesihatan fizikal dan perkara itu harus berubah.

"Membantu dan mengekalkan kesejahteraan mental rakyat harus menjadi sebahagian daripada rutin harian perkhidmatan kesihatan kita," kata Clark.

Pembiayaan belanjawan terperinci bagi ketagihan dan kesihatan mental akan diumum bersama-sama belanjawan 2019 kerajaan pada Khamis.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018