Ainul Mardhiah selamat dibedah di London



KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Bayi perempuan yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor,’ Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di London, semalam.

Doktor pakar pelatih surgikal, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang memulakan inisiatif sehingga berjaya membawa Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ke London berkata selepas bertarung selama lima jam dalam dewan bedah, tumor seberat 200 gram berjaya dibuang daripada mulut bayi itu.

“Alhamdulillah, Ainul, awak seorang bayi yang kuat! Anda tidak dapat bayangkan betapa cemasnya saya, ketika berada di dewan bedah. Bayi kecil itu, begitu lembut, cantik - jangan bimbang, semua orang ada di sini untuk membantu anda," katanya menerusi akaun Instagramnya.

Dr Nur Amalina berkata memandangkan pembedahan itu berisiko tinggi, pelbagai persediaan diperlukan bagi memastikan Ainul Mardhiah selamat.

“Banyak perancangan, banyak imbasan, banyak mesyuarat dan banyak kesabaran. Pasukan itu terdiri daripada pakar bedah dalam pelbagai bidang termasuk pakar ‘craniofacial’, plastik dan perunding kepala dan leher yang diketuai Prof David Dunway dan Juling Ong (pakar bedah ‘craniofacial’ dan pediatrik)," katanya.

Dr Nur Amalina berkata beliau amat berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada pasukan pembedahan dan bayi itu kini dalam keadaan stabil.

“Apabila saya keluar dari dewan dan melihat ibu bapa Ainul, saya tidak dapat mengawal emosi saya. Perasaan yang bercampur-campur, beremosi dan pada masa sama pengalaman yang memberi semangat,” katanya.

“Ainul, Wani dan Safi seperti keluarga saya. Mari lah kita berdoa untuk kesembuhan Ainul. Terima kasih atas doa kalian,” katanya.

Terdahulu, ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi, 24, melalui status Instastory di laman Instagramnya meluahkan rasa syukur apabila urusan rawatan dan pembedahan anaknya yang berusia sembilan bulan itu berjalan lancar. 

“Alhamdulillah syukur pada Allah. Pertolongan Allah sentiasa ada. Teruskan pergantungan pada Allah. Ainul, anak mama paling kuat. Alhamdulillah semua dipermudahkan. Ainul stabil, cepat sihat ya Ainul, nanti kita boleh balik Malaysia jumpa kakan-kawan Ainul,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua doktor yang terlibat merawat anaknya. 

“Terima kasih pada semua doktor dari pelbagai bidang yang sama bekerjasama untuk pastikan semua ini berjaya. Syukur, perancangan Allah paling indah sekali. 

“Teruskan selit doa untuk Ainul di setiap solat kita. Ainul perlukan semangat kita untuk dia terus kuat. Terima kasih semua,” katanya. 

Bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24,  turut berkongsi rasa syukur dengan memuat naik status, “Alhamdulillah.” di Facebooknya. 

Netizen juga mengucapkan rasa syukur dan gembira dengan berita kejayaan pembedahan Ainul Mardiah. 

“Alhamdulillah..sentiasa tunggu perkembangan (update) dari Walid Ainul.. nak tidur pun dah tak boleh teringatkan Ainul.. Semoga kamu baik-baik ya sayang,” kirim Hamizah Atikah di ruangan komen Facebook Ahmad Safiuddin. 

Rosnisa Yahaya turut berkongsi rasa gembira dan teruja mendengar berita baik mengenai pembedahan itu. 

“Alhamdulillah… semoga keadaan Ainul baik-baik sahaja..saat tahu Ainul sedang berjuang nak tidur dah..terus jadi tak tidur dok (asyik) teringat-ingat..bangun pagi-pagi ini nak solat Subuh tengok dulu update (perkembangan) dari walid Ainul..ayat ini membawa erti..sama-sama kita doakan Ainul di subuh ini,” kirimnya. 

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2