Skim MySalam: rakyat Kelantan dakwa tidak dapat maklumat jelas

Kelantan

KOTA BHARU, 13 Jun (Bernama) -- Rakyat Kelantan mendakwa masih kurang jelas dan tidak mendapat maklumat tepat mengenai Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (MySalam) dan ramai yang mahu hebahan mengenai skim itu dipertingkatkan.

Peniaga, Mohd Rosdi Awang, 47, berkata beliau mengetahui mengenai kewujudan skim MySalam melalui televisyen, namun tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai skim itu.

“Saya tahu mengenai wujudnya skim tersebut, namun masih tertanya-tanya golongan mana yang layak menerima bantuan tersebut serta tidak mengetahui cara atau platform yang betul untuk memohon,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Sehubungan itu, Mohd Rosdi mencadangkan maklumat mengenai inisiatif yang disediakan kerajaan dihebahkan di masjid untuk makluman orang ramai.

“Mungkin pada masa akan datang, imam-imam masjid boleh memaklumkan kepada orang ramai terutama yang berada di kampung mengenai perkara sebegini setiap kali solat Jumaat pada setiap minggu,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohamad Wan Abdullah, 59, dari Kampung Baung memberitahu beliau juga tidak jelas mengenai skim berkenaan.

“Kami (rakyat) tidak diberi penerangan yang jelas daripada pihak yang bertanggungjawab, jadi dengan kurangnya maklumat yang disampaikan, seolah-olah perkara ini tidak mencapai matlamatnya,” katanya.

Beliau mencadangkan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat mengenai bantuan itu di hospital dan klinik kesihatan agar ia dapat disampaikan kepada orang ramai dengan mudah dan jelas.

Skim MySalam yang mula diperkenalkan pada 1 Jan 2019  menawarkan perlindungan kesihatan secara percuma kepada penerima B40 yang layak untuk 36 penyakit kritikal sehingga RM8,000 dan memberi bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun.

Inisiatif itu adalah hasil kerjasama kerajaan Persekutuan dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings, yang menyumbang caruman dana permulaan RM2 bilion ke dalam dana amanah, MySalam.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2