Cadangan keluarkan jenayah bunuh diri daripada Kanun Keseksaan dikaji



PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara diarah untuk mengkaji cadangan ‘decriminalisation of attempted suicide’, iaitu mengeluarkan jenayah cubaan bunuh diri daripada Kanun Keseksaan dalam usaha kerajaan menangani isu kesejahteraan mental yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia antara beberapa keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Kesejahteraan Mental yang dipengerusikan beliau hari ini.

Antara perkara lain yang diputuskan dalam mesyuarat itu termasuk cadangan untuk mempertimbangkan pengecualian caj telefon pada Talian Kasih 15999 dan talian Befrienders serta menerapkan sistem nilai yang holistik dalam pelbagai aspek kehidupan khususnya sistem pendidikan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata mesyuarat turut bersetuju untuk melancarkan kempen ‘Deklarasi Keluarga’ bersempena Hari Kebangsaan yang bertujuan menerapkan nilai kekeluargaan.

Dr Wan Azizah berkata mesyuarat juga memutuskan untuk mengisytiharkan Oktober sebagai bulan kesedaran isu kesejahteraan mental dan melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional: “LET’S TALK MALAYSIA” dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan stigma masalah mental.

Mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Menteri Agama dan Polis Diraja Malaysia, katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata insiden seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menamatkan riwayatnya selepas 69 peratus netizen mengundi ‘D’ (bermaksud mati) di status Instagramnya pada bulan lepas jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran kesejahteraan mental perlu ditingkatkan.

“Ini juga menunjukkan pengaruh dan kesan negatif media sosial ke atas generasi muda,” katanya.

Beliau berkata kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dilaksanakan oleh KKM pada 2015 mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam masyarakat berusia 16 tahun ke atas adalah 29.2 peratus, iaitu peningkatan tiga kali daripada 10.7 peratus pada 1996.

“Pada 2017, kajian yang sama memfokuskan kepada remaja sekolah berumur 13 hingga 17 tahun,  mendapati bahawa prevalen idea membunuh diri adalah 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.

“Kedua-dua ini merupakan perkembangan yang membimbangkan dan memerlukan satu pendekatan yang holistik bagi menangani isu ini,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata kemurungan merupakan ketidakupayaan yang utama dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan kesan ke atas ekonomi Malaysia disebabkan penyakit mental dijangka mencecah US$25.3 bilion pada 2030.

"Kesejahteraan mental amat penting kerana ia melibatkan semua golongan dan masyarakat perlu lebih prihatin terhadap isu kesejahteraan mental,” katanya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2