SIMPANG PULAI, 21 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi memastikan golongan Orang Asli khususnya kanak-kanak memperoleh nutrisi zat makanan yang secukupnya.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata selain tahap imunisasi yang rendah, kekurangan nutrisi antara faktor penyebab dan penyebaran penyakit ‘measles’ atau demam campak kalangan Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.
“Faktor itu juga memberi risiko yang tinggi kepada individu yang sedang dijangkiti wabak itu. Oleh itu, perhatian khusus perlu diberikan melalui pelaksanaan program pemakanan (terutama di sekolah) yang dibekalkan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Terbuka Akademik Perkongsian Amalan Baik dan Jamuan Hari Raya di Sekolah Kebangsaan Pos Raya di sini hari ini.
Katanya kekurangan zat makanan juga menjadikan risiko komplikasi yang tinggi kepada pesakit yang dijangkiti demam campak terutamanya kepada kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, warga emas dan pesakit yang turut menghidap penyakit lain.
“Jadi kami akan memperbanyakkan program makanan bagi memastikan golongan Orang Asli termasuk yang berumur setahun sehingga lima tahun mendapat makanan tambahan supaya tidak kekurangan nutrisi,” katanya.
Dr Lee berkata pihaknya juga sedang mengkaji mekanisme terbaik untuk mempertingkatkan tahap imunisasi seluruh komuniti masyarakat di negara ini.
Beliau berkata cara hidup Orang Asli khususnya suku Bateq sering berpindah-randah dari sesebuah kawasan ke kawasan yang lain menyebabkan pegawai kesihatan sukar memberi suntikan imunisasi kepada kanak-kanak kaum minoriti itu.
“Jadi KKM sedang kaji bagaimana kita boleh meningkatkan tahap imunisasi bukan sahaja dalam kalangan Orang Asli tetapi komuniti awam yang lain,” katanya.
Sementara itu, Dr Lee berkata pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor bagi memastikan keadaan terkawal.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kami akan meneruskan pemantauan supaya pesakit dapat diberikan rawatan kecemasan,” katanya.
Pada Mac lepas, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim menyebabkan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan menyebabkan penutupan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang.
Semalam, 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang mengalami kesukaran bernafas dan muntah-muntah dikatakan kemungkinan disebabkan gas beracun.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata simptom itu kelihatan seperti kemungkinan gas beracun atau gas organik yang mudah meruap sama seperti insiden di Sungai Kim Kim.
--BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN