IPPT USM sedia perkhidmatan mamogram digital kesan kanser payudara



KEPALA BATAS, 22 Jun (Bernama) -- Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM), di sini menambah perkhidmatannya dengan menyediakan mesin ujian mamogram digital bagi memudahkan golongan wanita melakukan pemeriksaan kesihatan payudara.

Timbalan Pengarah Klinikal IPPT USM, Dr Hariah Abdul Karim yang juga pakar radiologi berkata mesin ujian mamogram dalam bentuk digital dua dan tiga dimensi itu mampu memberikan imej serta keputusan yang lebih jelas berbanding mesin mamogram analog yang digunakan sebelum ini.

"Kami percaya dengan mesin itu, usaha membanteras dan mengesan kanser payudara dalam kalangan wanita dapat dilakukan lebih awal sekali gus rawatan awal dan terbaik dapat diberikan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas program 'Cancer Survivors Week 2019' di IPPT USM, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Dr Afif Bahardin.

Dr Hariah berkata IPPT turut menyediakan perkhidmatan mamografi bergerak atau mobil mamografi untuk kemudahan golongan luar bandar mendapatkan perkhidmatan yang sama.

"Mesin itu berkebolehan untuk mengesan kanser dengan lebih cepat dan mudah dengan bayaran RM180 sahaja," katanya.

Sementara itu, Dr Afif berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia, khususnya penduduk Pulau Pinang tentang bahayanya penyakit kanser, cara-cara mengesan, merawat serta mencegahnya.

Menurutnya, beliau difahamkan mesin mamogram digital itu merupakan yang pertama di Malaysia ditawarkan oleh pusat perubatan milik kerajaan.

Beliau turut menyarankan golongan wanita di negeri ini melakukan pemeriksaan kesihatan payudara kerana kebanyakan mereka tidak menitikberatkan pemeriksaan di peringkat awal selain kurang kesedaran mengenai kanser itu.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018