Punca pencemaran dalam sehari dua, 30 kilang kimia disiasat



JOHOR BAHRU, 24 Jun (Bernama) -- Punca pencemaran di kawasan Pasir Gudang sehingga menyebabkan ramai mangsa termasuk pelajar sekolah sesak nafas dan muntah sejak Khamis lepas, hanya akan diketahui dalam sehari dua lagi.

Dalam mengesahkan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata agensi berkaitan kini dalam peringkat akhir untuk mengenalpasti bahan kimia yang terlibat.

 “Bagaimanapun, punca pencemaran itu akan diumumkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) atau Jabatan Kimia. Tunggu dalam sehari dua lagi. 

“Sebaik dapat tahu kimia itu apa, kita akan terus umumkan,” kata beliau kepada pemberita di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Sementara itu, 30 kilang kimia di Pasir Gudang telah disenarai pendek untuk disiasat bagi mengenalpasti sama ada bahan kimia yang diproses di kilang-kilang itu menjadi punca kepada pencemaran terbaru di Pasir Gudang ini.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar akan menyiasat dan jika didapati kimia hampir sama dengan kimia yang menyebabkan punca pelajar sesak nafas, kita akan arahkan penutupan operasi (untuk kilang-kilang berkenaan),” kata beliau.

Setakat ini, di Pasir Gudang terdapat 265 kilang yang beroperasi, kata Dr Sahruddin.

Ketika ditanya mengenai ujian darah, beliau mengesahkan semua 15 ujian darah yang sudah dibuat didapati negatif dari kehadiran tiga bahan kimia yang ada dari pencemaran Sungai Kim Kim, tiga bulan lepas (Mac).

“Semua (hasil ujian darah) negatif. Tiada acrylonitrate, tiada acroline dan tiada sianida,” kata Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata yang penting, dari sudut tahap “toxicity”, ia bukanlah berada di tahap yang sangat toksik sekiranya dibandingkan dengan pencemaran di Sungai Kim Kim yang lepas.

Tahap toxicity yang dikesan berada di tahap 1,130 parts per million (ppm) yang mana berkemungkinan menyebabkan muntah dan sesak nafas kepada mangsa yang terjejas.

“Yang mustahaknya, kenapa ia tidak dikenalpasti dalam sampel ujian, berkemungkinan bahan kimia punya separa hayat pendek dan tidak kekal dalam tubuh badan,” kata beliau.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata sehingga pukul 3.00 petang ini, 75 individu dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan daripada jumlah itu, empat pesakit masih menerima rawatan di wad biasa HSI.

Tiga pesakit itu berusia bawah 12 tahun manakala seorang sahaja berusia 30an.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut mencadangkan semua institusi pendidikan di kawasan Pasir Gudang ditutup mulai esok sehingga Khamis sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, keputusan untuk menutup semua institusi pendidikan hanya akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir malam ini.

Setakat semalam, 16 sekolah, satu politeknik dan 69 tadika di bawah Kementerian Pendidikan diarah tutup dari Ahad sehingga Khamis ini.

Ini tidak termasuk Sekolah Agama Taman Mawar dan sembilan tabika perpaduan.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018