Malaysia akan terus hulur bantuan dalam pengurusan bencana



KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Malaysia akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada negara-negara yang dilanda bencana menerusi pengetahuan dan kemahirannya dalam pengurusan bencana di peringkat global.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sejak beberapa tahun ini, perkhidmatan bantuan kecemasan negara telah mencapai kematangan dan mengalami perubahan secara berperingkat hasil pembangunan strategi berkesan oleh negara bagi mengurangkan kesan bencana negara.

Beliau berkata penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) adalah satu daripada strategi berkesan dalam meningkatkan kesiapsiagaan Malaysia dalam menguruskan bencana.

"Tidak diragui lagi, Malaysia telah memberikan sumbangan dan bantuan amat berharga kepada pengurusan pelbagai bencana dunia dan akan terus melakukan perkara itu," katanya ketika merasmikan ‘7th national and 5th International Table Top and Communication Exercise in Disaster Medicine (TOPCOM) 2019’, di sini hari ini.

NADMA juga telah menghulurkan bantuan kepada negara jiran Indonesia semasa berlakunya gempa bumi kuat dan tsunami di Palu, Sulawesi bersama-sama pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS), perkhidmatan kesihatan awam dari pihak kerajaan dan Persatuan Bulan Sabit Merah serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) lain. 

Beliau berkata menerusi perkhidmatan yang cemerlang, tidak mengenal penat dan lelah serta dedikasi tinggi yang ditunjukkan oleh bekas dan para pegawai diplomat dan perwakilan semasa, Malaysia hari ini dipandang tinggi pendiriannya dalam pelbagai isu antarabangsa.

Teks ucapan menteri itu dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Pengurusan) Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Dzulkefly menambah walaupun bencana adalah kesan daripada kombinasi bahaya semula jadi dan kegiatan manusia, namun kerentanan manusia yang disebabkan oleh kurangnya pengursan kecemasan yang mencukupi akan membawa kepada kerugian kewangan, struktur dan kehilangan nyawa.

Kerugian-kerugian ini, kata beliau boleh dikurangkan dan ada kalanya boleh dielakkan dengan kesiapsiagaan para profesional kesihatan.

"Oleh itu, penganjuran kursus-kursus oleh TOPCOMM diharap dapat membuka lebih banyak pintu baharu kepada agensi-agensi yang berlainan untuk bekerjasama dan bantu-membantu bagi mencapai hasil yang terbaik dalam kesiapsiagaan menghadapi kecemasan,” tambah beliau.

Kursus enam hari itu dari 1 hingga 6 Julai (termasuk dua hari prapersidangan) melibatkan 30 penceramah terkenal antarabangsa dari Amerika Syarikat, Qatar, Australia, United Kingdom, Jepun dan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.

Kursus itu bertujuan memberi peluang dan platform baharu untuk berkongsi pengalaman dalam persediaan dan pengurusan bencana dalam suasana santai dan bebas daripada tekanan.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018